PEARLY (kanan) dan Thinaah mempamerkan aksi luar biasa di Masters Malaysia minggu lalu. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
PEARLY (kanan) dan Thinaah mempamerkan aksi luar biasa di Masters Malaysia minggu lalu. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah optimis dapat mengekalkan prestasi baik mereka pada Terbuka Singapura 2023 minggu depan.

Thinaah berkata mereka tidak lagi memikirkan apa yang berlaku di Masters Malaysia minggu lepas yang menyaksikan pasangan itu hampir merangkul kejuaraan di gelanggang sendiri, sebelum dikecewakan beregu Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 20-22, 21-8, 17-21, usai pertarungan satu jam 41 minit.

"Persediaan kami untuk Terbuka Singapura berjalan lancar pada ketika ini. Apa yang berlaku sudah pun berlalu, kami tak mahu memikirkan Masters Malaysia lagi.

"Kami harap untuk perbaiki dari segi strategi, corak permainan dan (bermain) lebih agresif," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan, di sini, hari ini.

Ditanya adakah mereka mampu merapatkan jurang dengan beregu di ranking lima teratas, pemain berusia 25 tahun itu berkata mereka tidak terlalu memikirkan perkara itu dan hanya mahu menikmati permainan.

Meskipun tewas pada pusingan akhir Masters Malaysia, Pearly-Thinaah memenangi hati rakyat Malaysia dengan semangat juang tinggi yang ditunjukkan mereka, selain kental mengharungi empat perlawanan panjang yang mengambil masa secara total lima jam 54 minit.

Pasangan nombor 11 dunia itu mempamerkan aksi luar biasa apabila bertahan selama sekurang-kurangnya sejam bagi setiap perlawanan itu, bermula pusingan kedua hingga ke final, meskipun Pearly baru sembuh daripada influenza.

Juara Sukan Komanwel 2022 itu turut mencipta rekod tidak rasmi permainan rali terpanjang dengan 211 pukulan ketika menewaskan beregu Jepun Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto 21-18, 8-21, 21-19 dalam perlawanan satu jam 51 minit pada suku akhir.

Pearly-Thinaah akan membuka kempen Terbuka Singapura, yang akan bermula pada 6 hingga 11 Jun ini, dengan menentang Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 10:17 PM