THINAAH (kanan) akur akan kekalahan kepada pasangan tuan rumah. FOTO Bernama
THINAAH (kanan) akur akan kekalahan kepada pasangan tuan rumah. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Apa yang berlaku ketika Indonesia Masters memberi pengajaran yang berguna buat beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah dan mereka perlu segera bangkit memperbaiki kelemahan menjelang Terbuka Indonesia Selasa ini.

Biarpun pada satu ketika mereka mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi perlawanan di separuh akhir itu namun akhirnya terpaksa akur apabila tewas di tangan wakil tuan rumah yang juga pilihan ketujuh, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 23-21, 14-21, 14-21 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Istora Senayan, Jakarta.

Thinaah berkata, dia akur akan kekalahan kepada pasangan tuan rumah dan itu memberi pengajaran berguna kepadanya dan juga Pearly untuk bangkit tidak mengulangi kesalahan yang sama.

"Sudah pasti kami kecewa dengan kekalahan ini. Tapi kami dapat belajar. Lawan bermain dengan lebih baik daripada kami dan kurang melakukan kesilapan serta aksi mereka juga lebih konsisten.

"Kami mahu kembali bangkit di Terbuka Indonesia nanti. Buat masa ini saya tak mahu fikirkan mengenai sasaran kerana yang penting adalah tingkatkan prestasi dan fokus satu demi satu perlawanan," kata Thinaah.

Biarpun impian untuk mara ke perlawanan akhir tidak kesampaian namun pencapaian Pearly-Thinaah ini dianggap sesuatu yang positif apabila dua kali berturut-turut berjaya menempatkan diri ke kelompok empat terbaik selepas Terbuka Thailand bulan lalu dan berjaya muncul juara di Terbuka Switzerland tahun lalu.

Pada aksi Terbuka Indonesia beregu nombor satu negara itu mereka akan berdepan rakan pasukan Teo Mei Xing-Anna Cheong di pusingan pertama.

Jika berjaya mengatasi Mei Xing-Anna, mereka dijangka membuat perhitungan dengan pasangan nombor empat dunia dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota bagi merebut tiket ke suku akhir kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 1000 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 5:44 PM