AARON (kiri) dan Wooi Yik mara ke pusingan kedua Masters China. FOTO ARKIB NSTP
AARON (kiri) dan Wooi Yik mara ke pusingan kedua Masters China. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan masalah untuk menempah slot ke pusingan kedua Masters China selepas menumpaskan rakan senegara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi, hari ini.

Pertarungan di Gimnasium Shenzen menyaksikan beregu nombor dunia itu merekodkan kemenangan 21-15,21-15 dalam tempoh 33 minit.

Kemenangan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik yang juga juara dunia 2022 melebarkan rekod apabila mereka mencatatkan lima kemenangan daripada tujuh pertemuan sebelum ini.

Aaron-Wooi Yik yang berstatus pilihan ketiga kejohanan bakal berdepan salah satu daripada beregu China di pusingan kedua.

Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun terpaksa bertarung tiga set sebelum mengesahkan tempat ke pusingan kedua selepas menumpaskan pasangan dari Korea Selatan, Jin Yong-Na Sung Seung 21-11, 15-21,21-17.

Namun, nasib tidak menyebelahi gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin apabila tewas kepada beregu Jepun, Akira Koga-Taichi Sato 23-21, 22-24 dan 19-21.

Turut terkandas seawal pusingan pertama ada beregu campuran negara , Chen Tang Jie-Toh Ee Wei selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 18-21,18-21.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 8:08 PM