Jun Hao, ketika beraksi dalam separuh akhir badminton berpasukan lelaki Sukan Sea Kemboja 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Jun Hao, ketika beraksi dalam separuh akhir badminton berpasukan lelaki Sukan Sea Kemboja 2023 di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Zulfaizan Mansor


Phnom Penh: Skuad badminton lelaki negara melunaskan dendam setahun lalu ke atas Thailand apabila meraih kemenangan 3-2 di separuh akhir acara badminton berpasukan Sukan Sea Kemboja 2023, hari ini.

Kem Malaysia bagaimanapun berdepan detik cemas apabila Thailand berjaya bangkit mengikat kedudukan kepada 2-2 sebelum pemain perseorangan ketiga negara, Kok Jing Hong berjaya meraih mata kemenangan untuk menempah aksi final berdepan Indonesia, esok.

Terdahulu, Pemain perseorangan utama negara, Leong Jun Hao dipaksa bekerja keras oleh Sitthikom Tammasin sebelum memenangi pertarungan tiga set 21-13, 18-21, 21-10 untuk menyumbang mata pertama Malaysia.

Selepas itu, pasangan beregu Goh Boon Zhe-Rayner Beh Chun Meng juga terpaksa mandi peluh untuk menyumbang mata kedua Malaysia dengan menewaskan gandingan Peeratchai Sukphun- Pakkapon Teeraratsakul 21-16, 14-21, 21-15.

Hasrat skuad negara untuk menamatkan perlawanan lebih awal bagaimanapun tidak kesampaian apabila perseorangan kedua Ong Ken Yon tewas 17-21, 15-21 kepada Panitchaphon Teeraratsakul.

Kebangkitan Thailand berterusan menerusi gandingan, Ruttanapak Oupthong-Nanthakarn Yordphaisong yang berjaya menyamakan kedudukan selepas mengatasi cabaran Chia Weijie- Liew Xun 21-16, 21-14.

Jing Hong akhirnya muncul wira skuad negara apabila dia berjaya menyumbang mata kemenangan dengan menewaskan Saran Jamsri 21-12, 21-13.

"Kalau kata tak tertekan (sebagai pemain terakhir) itu tidak mungkin. Tetapi saya hanya fikir apa yang saya perlu dan keluarkan dalam gelanggang.

"Bagi berdepan Indonesia esok saya rasa kita hadir sebagai underdog dan memberikan saingan kepada mereka (Indonesia)," kata Jing Hong.

Untuk rekod, skuad negara tewas kepada Thailand 3-0 dalam acara sama di Sukan Sea Vietnam, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 7:54 PM