AKSI beregu campuran negara ketika menentang pasangan China. FOTO BAM
AKSI beregu campuran negara ketika menentang pasangan China. FOTO BAM
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Hasrat pemain beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai untuk meraih gelaran pertama mereka musim ini tidak kesampaian apabila tunduk kepada pasangan China Jiang Zheng Bang-Wei Ya Xin dalam aksi final Terbuka Swiss sebentar tadi.

Pada aksi di St. Jakobshalle Basel itu, pasangan berada di ranking ke-11 dunia itu bermula dengan langkah kiri apabila tewas set pertama 17-21.

Bagaimanapun, Soon Huat-Shevon kembali memperkemaskan permainan untuk memenangi set kedua 21-19 sekali gus memaksa perlawanan dibawa ke set penentuan.

Memasuki set ketiga, Soon Huat-Shevon bermula baik namun gagal meneruskan rentak permainan di penghujung perlawanan sekali gus menyaksikan mereka tewas 17-21 dalam aksi memakan masa satu jam.

Persembahan ditampilkan Soon Huat-Shevon boleh dipuji apabila berjaya melangkah ke pentas akhir selepas tewas di pusingan pertama kejohanan Seluruh England minggu lalu.

Selepas ini, pasangan negara dijangka menyertai Masters Sepanyol minggu depan dan bakal bertemu gandingan Taiwan, Chang Ko-Chi - Lee Chih Chen di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 9:42 PM