AKSI Soon Huat dan Shevon ketika menentang pasangan China. FOTO BAM
AKSI Soon Huat dan Shevon ketika menentang pasangan China. FOTO BAM
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Hasrat untuk melihat beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai beraksi di final Terbuka Denmark tidak kesampaian apabila mereka tewas kepada wakil dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dalam saingan separuh akhir, hari ini.

Soon Huat-Shevon jelas berdepan kesukaran untuk cuba menyaingi pasangan nombor tiga dunia itu sebelum tewas tewas 16-21 pada set pertama kejohanan yang berlangsung di Odense, Denmark itu.

Memasuki set kedua, beregu campuran negara yang kini berada di ranking ke-13 dunia itu dilihat mula mendapat rentak sebenar mereka, namun masih belum berupaya menandingi kehebatan Si Wei-Ya Qiong dan akhirnya tewas dengan mata 22-24.

Sejak 2018, Soon Huat-Shevon masih belum pernah memenangi sebarang perlawanan dengan Si Wei-Ya Qiong dan kali terakhir pertemuan diantara keduanya adalah ketika Masters Malaysia pada Julai lalu yang menyaksikan pasangan negara itu tewas 10-21, 14-21 pada suku akhir.

Menanti Si Wei-Ya Qiong di final adalah rakan senegara, Feng Yang Zhe-Huang Dong Ping yang mara selepas menundukkan wakil Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran 21-9, 24-22.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 6:44 PM