AARON (kanan) dan Wooi Yik pamer aksi cemerlang di saingan suku akhir, hari ini. FOTO Badminton Photo
AARON (kanan) dan Wooi Yik pamer aksi cemerlang di saingan suku akhir, hari ini. FOTO Badminton Photo
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas dilabel sebagai mengecewakan di Terbuka Malaysia, gandingan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah kembali bangkit dengan berjaya menempah slot separuh akhir Terbuka India sebentar tadi.

Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan tidak berdepan masalah untuk menumpaskan rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-17, 21-11.

Ia adalah kemenangan kali keempat buat Aaron-Wooi Yik selepas enam kali bertemu dengan pasangan profesional itu dan berada di landasan terbaik untuk merangkul gelaran pertama tahun ini.

Bagaimanapun, untuk merealisasikan sasaran berkenaan bukan mudah kerana lawan mereka selepas ini adalah pemenang di antara pasangan nombor satu dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia atau wakil Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel.

Minggu lalu di Terbuka Malaysia Aaron-Wooi Yik terkandas di pusingan kedua selepas kalah kepada pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 10-21, 21-23.

Sementara itu, Pearly-Thinaah berjaya mara ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan straight set ke atas pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi.

Mereka yang diletakkan sebagai pilihan kelapan mengambil masa 44 minit untuk merakamkan kemenangan 21-13, 21-13 di Dewan Tertutup KD Jadhav, New Delhi.

Menanti mereka di separuh akhir ialah pemenang di antara pasangan adik-beradik Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard dan gandingan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Minggu lalu Pearly-Thinaah terkandas di pusingan pertama Terbuka Malaysia selepas tewas di tangan gandingan adik-beradik Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 19-21, 14-21 dalam tempoh 31 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 7:45 PM