THINAAH mahu rakan segandingan, Pearly Tan fokus proses pemulihan.
THINAAH mahu rakan segandingan, Pearly Tan fokus proses pemulihan.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Masa semakin suntuk untuk beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah melayakkan diri beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF yang dijadual berlangsung di Guangzhou, China bermula 14 hingga 18 Disember depan.

Justeru beregu negara yang menduduki ranking ke-11 dunia itu akur sekiranya tidak layak beraksi di kejohanan akhir musim berkenaan selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan pembatalan dua kejohanan di China iaitu Terbuka China (29 November hingga 4 Disember) dan Terbuka Fuzhou China (6 hingga 11 Disember), semalam.

Dengan Pearly masih lagi dalam proses pemulihan susulan kecederaan hamstring dialami di Terbuka Jepun awal bulan ini, Thinaah tidak mahu mengambil risiko beraksi dalam mana-mana kejohanan.

Ini bermakna, status penyertaan mereka dalam dua kejohanan di Eropah iaitu Terbuka Denmark bermula 18 hingga 23 Oktober danTerbuka Perancis (25 hingga 30 Oktober) juga masih belum pasti.

"Seeloknya fokus proses pemulihan terlebih dahulu dan kita akan berjuang habis-habisan sekiranya sudah bersedia sepenuhnya," katanya.

Ketika ini, Pearly-Thinaah berada di kedudukan ranking ke-11 Jelajah Dunia Akhir dengan hanya lapan pasangan terbaik layak beraksi di kejohanan akhir musim yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak AS$1.5 juta (RM6.96 juta) itu.

Sementara itu, Pearly berkata, barisan kejurulatihan akan membuat penilaian terhadap tahap kecergasannya minggu depan sama ada boleh beraksi atau sebaliknya di Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.

"Ketika ini saya masih cari keyakinan. Saya sudah mula melakukan pergerakan dalam gelanggang dan minggu depan akan cuba untuk kembali bergandingan bersama Thinaah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 5:23 PM