ANNA dan Mei Xing duduki ranking ke-29 dunia.
ANNA dan Mei Xing duduki ranking ke-29 dunia.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky mahu memastikan dua beregu wanita negara dari badan induk itu layak beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Selain beregu utama negara yang menduduki ranking ke-11 dunia, Pearly Tan-M Thinaah, Rexy juga sedang bekerja keras membimbing Anna Cheong-Teoh Mei Xing untuk layak beraksi di Paris.

Jelas Rexy, sememangnya masih terdapat jurang besar antara Pearly-Thinaah serta Anna-Mei Xing, namun beliau percaya beregu negara yang menduduki ranking ke-29 dunia itu mempunyai peluang menemani Pearly-Thinaah.

"Saya hanya membimbing mereka (Anna-Mei Xing), tetapi mereka juga perlu percaya mampu untuk layak ke Paris. Mereka mempunyai peluang terbaik berlatih bersama Pearly-Thinaah.

"Kepercayaan diri Anna-Mei Xing harus lebih kukuh, mereka pernah kejutkan dua pasangan yang berada di top 10 dunia iaitu Lee So Hee-Shin Seung Chan dari Korea Selatan (ranking ketiga) pada Terbuka Malaysia 2022 serta Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun (ranking keenam) pada Masters Malaysia 2022," katanya.

Jelas Rexy, misi untuk memastikan Anna-Mei Xing layak ke Paris sudah bermula dari sekarang manakala gandingan beregu wanita lain yang lebih muda pula dipersiapkan untuk Olimpik 2028.

"Saya sudah 'push' mereka (Anna-Mei Xing). Kita jangan tunggu hari esok, kalau hari ini kita boleh 'push' mereka, kenapa perlu tunggu hari esok. "Beregu yang lain pula prospek mereka adalah untuk Olimpik 2028 dan kita sudah bermula segala persiapan dari sekarang," katanya.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Mei lalu mengumumkan bahawa tempoh kelayakan ke Sukan Olimpik 2024, dikenali sebagai 'Race to Paris' ditetapkan bermula dari 1 Mei 2023. Sukan Olimpik Paris 2024 dijadual berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 3:32 PM