WOOI Yik (kanan) dan Aaron dikatakan semakin matang selepas bergelar juara dunia. FOTO ARKIB NSTP
WOOI Yik (kanan) dan Aaron dikatakan semakin matang selepas bergelar juara dunia. FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jurulatih beregu lelaki negara Tan Bin Shen yakin juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik semakin matang dalam mengawal tekanan selepas mencatat kejayaan sensasi pada Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Jepun, Ogos lalu.

Berdasarkan sesi perbincangan antara mereka sebelum ini, Bin Shen berkata, Aaron-Wooi Yik mampu mengatasi tekanan di gelanggang memandangkan ramai pihak lawan mula menyedari kemampuan serta pastinya mengatur langkah menumpaskan gandingan nombor satu negara dalam mana-mana kejohanan selepas ini.

"Saya rasa berdasarkan persediaan mereka setakat ini, mereka tahu penetapan minda yang perlu dimiliki ketika masuk beraksi dalam gelanggang," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan, hari ini.

Bin Shen pada masa sama memaklumkan Aaron-Wooi Yik, yang akan beraksi dalam Terbuka Denmark 2022 pada 18 hingga 23 Oktober diikuti Terbuka Perancis 2022 pada 25 hingga 30 Oktober berkemungkinan besar tidak beraksi pada Terbuka Hylo 2022 di Jerman, dijadual berlangsung pada 1 hingga 6 November.

Jelasnya, langkah tidak menyenaraikan pasangan keempat dunia di Terbuka Hylo itu dibuat bagi membantu mereka melakukan persiapan menghadapi pusingan akhir Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Guangzhou, China pada 14 hingga 18 Disember ini.

Pada 28 Ogos, Aaron-Wooi Yik menewaskan juara dunia tiga kali, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia, 21-19, 21-14, sekali gus menamatkan penantian 45 tahun Malaysia untuk merangkul gelaran sulung kejohanan dunia.

Dalam pada itu, Bin Shen berkata, satu lagi pasangan negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani kini sedang fokus mengembalikan momentum menjelang tiga kejohanan di Eropah memandangkan mereka menampilkan aksi kurang menyerlah sejak bergelar juara Terbuka Jerman 2022, Mac lalu.

"Saya fikir mereka ada masalah keyakinan diri, kadang-kadang mereka meletakkan terlalu banyak tekanan sehingga ke satu tahap untuk bermain dengan baik, tetapi tidak menjadi...semua masalah itu mereka kena tangani dengan matang," katanya.

Sementara itu, jurulatih beregu wanita, Hoon Thien How berkata, status penyertaan juara Sukan Komanwel Birmingham 2022, Pearly Tan-M. Thinaah ke Terbuka Hylo bergantung kepada sejauh mana mereka melangkah pada Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.

Thien How menjelaskan Pearly-Thinaah boleh menarik diri daripada Terbuka Hylo sekiranya mereka mampu mengumpul mata yang banyak di Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis sehingga berpotensi layak ke pusingan akhir Jelajah Dunia BWF.

Bagaimanapun, beliau enggan meletakkan tekanan tinggi kepada mereka memandangkan Pearly baru sahaja melepasi proses pemulihan susulan kecederaan hamstring dialami pada Terbuka Jepun, awal bulan lalu.

Pearly-Thinaah ketika ini berada di kedudukan ke-11 dalam ranking Jelajah Dunia BWF dan hanya lapan terbaik layak ke pusingan akhir di Guangzhou.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 9:15 PM