Juarai terbuka Swiss dalam acara beregu wanita, Pearly Tan (kiri) dan M Thinaah. FOTO Owee Ah Chun
Juarai terbuka Swiss dalam acara beregu wanita, Pearly Tan (kiri) dan M Thinaah. FOTO Owee Ah Chun
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Selepas cemerlang di Terbuka Switzerland dan Seluruh England, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mahu membuktikan sesuatu kepada peminat tempatan di saingan Terbuka Malaysia, Mei depan.

Beregu wanita negara itu menampilkan aksi meyakinkan sejak kebelakangan ini apabila muncul juara Terbuka Switzerland dan mara sehingga ke suku akhir kejohanan berprestij Seluruh England.

Aksi konsisten itu menyaksikan pasangan negara itu kini menjadi tumpuan terutama pada saingan Terbuka Malaysia yang bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 750.

"Saya fikir ia akan menjadi sesuatu yang mengujakan apabila kami beraksi dalam Terbuka Malaysia sebagai satu gandingan.

"Sudah pasti kami berharap dapat mengekalkan momentum dan semangat juang kami pada kejohanan itu nanti. Kami akan berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan untuk menghasilkan keputusan yang positif," kata Thinaah.

Terbuka Malaysia sepatutnya berlangsung bulan ini namun ditangguhkan susulan pandemik Covid-19.

Menerusi kalendar kejohanan terbaru dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak AS$750,000 (RM3.098 juta) itu akan berlangsung pada 25 hingga 30 Mei depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi sidang media semalam mengesahkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah diberi lampu hijau bagi menganjurkan Terbuka Malaysia dengan kehadiran penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 5:22 PM