Kuala Lumpur: Selepas tamatnya temasya Sukan Komnanwel di Birmingham, ada perubahan besar yang dapat dilihat dari segi mutu permainan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang akan membuat penampilan sulung di Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun bermula esok.
Tze Yong yang berada di ranking ke-42 dunia juga mampu melakar kejutan dengan corak permainan yang semakin matang.
Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan yakin kemampuan Tze Yong dengan pemain muda negara itu mampu untuk memberi impak dan membuktikan ranking bukan faktor utama penentu kemenangan.
Bagaimanapun perkara itu hanya akan hadir sekiranya Tze Yong dapat mempamerkan prestasi terbaiknya.
"Banyak perubahan yang dapat dilihat dari Tze Yong tapi bukan dari segi kemahiran atau teknik sebaliknya adalah komitmen dan kemahuan dia sendiri.
"Latihan dia juga lebih berkualiti kerana keinginannya yang tinggi dan dia bukan hanya sekadar datang berlatih. Perkara ini dapat dilihat sebelum Sukan Komanwel lagi.
"Di Sukan Komanwel kita tak pernah cakap mengenai sasaran atau sampai mana dia perlu menang. Kita hanya cakap untuk dia berikan yang terbaik dan selepas itu baru dapat lihat hasilnya dan mungkin apa saja boleh berlaku selepas itu," kata jurulatih dari Indonesia itu.
Tegas Hendrawan, jika Tze Yong, 22, boleh berikan permainan terbaiknya, pasti episod berbeza akan berlaku.
Kelibat Tze Yong kali ini akan menjadi tumpuan berdasarkan prestasi luar biasanya di Komanwel yang mana dia berjaya menewaskan bekas pemain nombor satu dunia dari India, K Srikanth ketika final berpasukan campuran dan separuh akhir saingan individu.
Tonik terbaik buat Tze Yong yang dibawa ke Tokyo kali ini pastinya kejayaannya mengatasi juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew di suku akhir saingan individu.
Tze Yong akan membuka tirai perlawanan menentang juara Masters Malaysia dari Indonesia, Chico Aura Dwi Widoyo di pusingan pertama.
Jika berjaya mengatasi Chico, pemain kelahiran Johor itu akan bertemu pemenang perlawanan antara pilihan ke-13 dari Jepun, Kanta Tsuneyama dengan Sitthikom Thammasin dari Thailand di pusingan kedua sebelum pemain nombor satu dunia dari Denmark, Vikto Axelsen dijangka menantinya di pusingan ketiga.