LANGKAH Tze Yong terhenti di pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia. FOTO Photo Badminton
LANGKAH Tze Yong terhenti di pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia. FOTO Photo Badminton
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann menegaskan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong tetap mempamerkan prestasi konsisten meskipun tersingkir pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun.

Pemain yang menduduki ranking ke-42 dunia itu terpaksa akur tewas di tangan pemain Thailand yang lebih berpengalaman, Sitthikom Thammasin 16-21, 21-10, 19-21, semalam.

Pada pusingan pertama sebelum ini, Tze Yong yang membuat penampilan sulung di kejohanan berprestij itu, mempamerkan aksi cukup meyakinkan apabila menewaskan juara Masters Malaysia dari Indonesia, Chico Aura Dwi Widoyo 21-16, 21-10.

Choong Hann berkata, Tze Yong sudah menunjukkan peningkatan yang cukup ketara terutama apabila berjaya mara sehingga ke suku akhir di Terbuka Singapura serta melakar kejutan meraih pingat perak di Sukan Komanwel Birmingham.

"Jadi prestasinya memang stabil, bukannya ada naik dan turun. Tapi ketika bertemu Thammasin, lawannya itu juga mempamerkan prestasi yang bagus dan sangat fokus.

"Tze Yong juga sebenarnya ada peluang untuk menang tapi dia masih belum dapat menguasai pelbagai corak permainan kerana cara Thammasin beraksi adalah berbeza berbanding pemain lain selain lebih berpengalaman.

"Dia sudah memberi saingan sebaik-baiknya tapi pada saat genting, Tze Yong hanya kalah sedikit daripada segi taktikal dengan Thammasin," katanya.

Choong Hann berkata, walaupun tewas, Tze Yong membuktikan bahawa dia cepat menyesuaikan diri bertemu lawan yang tidak pernah ditemuinya sekali gus mampu menyaingi pemain yang menduduki ranking ke-33 dunia itu.

"Saya percaya Tze Yong akan terus bangkit selepas ini dan kekalahan ini akan memberi pengajaran cukup bermakna kepadanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 12:45 PM