PANG Ron dan  Ee Wei  ketika menentang beregu Korea Selatan. FOTO Bernama
PANG Ron dan Ee Wei ketika menentang beregu Korea Selatan. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei tidak terkesan dengan status lawan mereka selepas ini, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dari China yang merupakan juara bertahan Olimpik, menjelang perlawanan pusingan kedua dalam Masters Malaysia 2022, esok.

Walaupun bukan beregu pilihan, Pang Ron bertekad memberi saingan sengit kepada beregu pilihan keempat kejohanan itu dalam aksi di Axiata Arena.

"Kami menghormati status mereka di luar gelanggang, tetapi apa sahaja boleh berlaku di dalam gelanggang. Bagi kami tiada apa yang perlu dirisaukan kerana kami akan bermain sehabis baik demi negara," katanya kepada pemberia selepas perlawanan menentang Kim Won Ho-Jeong Na Eun dari Korea Selatan dalam pusingan pertama di sini, hari ini.

Pang Ron-Ee Wei yang berada pada ranking ke-154 dunia, terdahulu mencipta kejutan menewaskan beregu nombor 71 dunia itu apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menempah tiket ke pusingan seterusnya dengan 23-25, 21-8, 21-7.

Ee Wei pula berkata kerjasama mereka semakin baik sejak digandingkan buat pertama kali di Masters Indonesia bulan lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 8:47 PM