Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pasangan beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai mengakui kecewa apabila tewas di pusingan kedua Terbuka Malaysia kepada beregu Korea, Kim Won Ho-Jeong Na Eun.

Mereka sepatutnya mampu untuk mara sehingga ke suku akhir namun perlu akur apabila tewas dalam pertarungan tiga set 21-10, 18-21, 17-21.

Kata Soon Huat, dia bersama Shevon sudah mencuba dari segala aspek tapi tetap gagal untuk menghalang kebangkitan pasangan Korea di set ketiga selepas menang mudah di set pertama.

"Kami memang kecewa. Kami dah cuba dari segala segi tapi tak boleh nak pecah kebuntuan.

"Sepatutnya kejohanan seperti ini, kami harap dapat masuk hingga ke suku akhir tapi tak berjaya kali ini," katanya.

Namun Soon Huat mengakui keadaan fizikalnya tidak berada di tahap terbaik kesan keracunan makanan yang dialaminya di Terbuka Indonesia bagaimanapun tidak mahu menjadikannya itu alasan kegagalannya hari ini.

Baki tempoh yang ada akan digunakan sebaik mungkin untuk mempersiapkan diri menghadapi cabaran di Malaysia Masters Selasa depan.

"Sekarang ini, saya nak rehat secukupnya dan kami mahu kembali bangkit di Malaysia Masters.

"Saya harap kami boleh pergi lebih jauh di Malaysia Masters nanti," katanya.

Sementara itu seperti yang diduga, kebangkitan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Valeree Siow terhenti di pusingan kedua apabila tewas kepada pilihan kedua kejohanan yang juga pingat emas Olimpik Tokyo 2020, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, 16-21, 10-21 dalam perlawanan yang berlangsung 27 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 3:46 PM
SOON Huat (kanan) mengakui sudah mencuba dari segala aspek tapi tetap gagal untuk menghalang kebangkitan pasangan Korea Selatan itu. FOTO ASYRAF HAMZAH
SOON Huat (kanan) mengakui sudah mencuba dari segala aspek tapi tetap gagal untuk menghalang kebangkitan pasangan Korea Selatan itu. FOTO ASYRAF HAMZAH