SOON Huat (kanan) dan Shevon akan berdepan pilihan pertama dari Thailand Dechapol-Sapsiree esok. FOTO FATHIL ASRI
SOON Huat (kanan) dan Shevon akan berdepan pilihan pertama dari Thailand Dechapol-Sapsiree esok. FOTO FATHIL ASRI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pasangan beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai menyelamatkan maruah negara apabila berjaya mara ke separuh akhir Terbuka Singapura ketika dua lagi wakil negara dalam acara yang sama tersingkir di suku akhir.

Gandingan yang juga pasangan kekasih itu memerlukan 54 minit untuk menjinakkan pilihan keempat dari Hong Kong, Tang Cun Man-Tse Ying Suet sebelum menang 22-20, 16-21, 21-18.

Kejayaan menempah tiket ke separuh akhir itu dianggap bonus buat Soon Huat-Shevon yang sebelum ini tewas di suku akhir Masters Malaysia dan pusingan kedua di Terbuka Malaysia.

Bagi Shevon, dia bersama Soon Huat sudah melakukan yang terbaik dan gembira apabila berjaya menempah tiket ke pusingan seterusnya yang mana ia melangkaui sasaran yang ditetapkan.

"Memang kami harap boleh pergi jauh di Terbuka Singapura ini tapi hari ini saya rasa kami bertuah sebab lawan banyak melakukan kesalahan yang tidak sepatutnya.

"Taktikal kami juga baik hari ini dan dapat mengawal gelanggang dan bulu tangkis dengan bagus," katanya.

Kemenangan itu menyaksikan Soon Huat-Shevon akan berdepan pilihan pertama dari Thailand Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di separuh akhir.

Dechapol-Sapsiree menempah tiket ke separuh akhir selepas menyingkirkan pasangan negara, Chen Tang Jie-Valeree Siow 10-21, 20-21.

Sementara itu satu lagi beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei turut ditunjukkan jalan pulang oleh China, Guo Xin Wa-Zhang Shu apabila tewas 16-21, 14-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 5:37 PM