LER Qi meraih kejuaraan berganda di kejohanan yang berlangsung di Akademi Badminton Perak hari ini selepas turut muncul juara dalam acara beregu perempuan. FOTO Ihsan JET
LER Qi meraih kejuaraan berganda di kejohanan yang berlangsung di Akademi Badminton Perak hari ini selepas turut muncul juara dalam acara beregu perempuan. FOTO Ihsan JET

Ipoh: Pemain perseorangan perempuan bawah 16 tahun Selangor, Eng Ler Qi mempertahankan kejuaraan untuk kali kedua berturut turut selepas muncul juara Kejohanan Badminton 100Plus Jelajah Remaja Elit (JET) 2022 Pusingan Kedua kumpulan A.

Ler Qi yang juga juara ketika Pusingan Pertama Kumpulan A pada Mei lalu menepati ramalan untuk muncul juara dalam aksi final menentang wakil Melaka, Shaneesa Shahidi straight set 21-12, 21-16 dalam masa 45 minit.

Dia meraih kejuaraan berganda di kejohanan yang berlangsung di Akademi Badminton Perak hari ini selepas turut muncul juara dalam acara beregu perempuan bawah 16 tahun.

Gandingannya bersama sama Shan Lee Yu mudah menundukkan rakan seperjuangan, Chow Hui Er-K Reesha straight set 21-17, 21-14.

"Saya bermain dengan lebih tenang dan kawal cara serangan sepanjang perlawanan. Sudah tentu gembira dapat pertahan kejuaraan untuk kali kedua tetapi juga perlukan latihan terutama permainan di jaring," kata Ler Qi.

Sementara itu, aksi perseorangan lelaki bawah 16 tahun di ungguli Shawn Hiu dari Selangor yang menundukkan Yap Chun Sin 22-20, 21-8.

"Saya agak gemuruh di awal set dan banyak melakukan kesilapan dan dibantu dengan beberapa pukulan bertuah. Di set kedua lawan semakin perlahan dan saya manfaatkan peluang ini.

"Kemenangan ini saya tujukan kepada ahli keluarga, barisan kejurulatihan yang sentiasa menyokong sepanjang kejohanan," kata Shawn.

Perak selaku tuan rumah turut meraih satu pingat emas menerusi beregu lelaki yang dimenangi oleh Fan Jing Xuan-Muhd Al-Imran Jasni selepas menang ke atas rakan sepasukan, Loh Chee Kiat-Rex Ng Man Hei 21-16, 21-16.

Aksi final bagi bawah 14 tahun turut menyaksikan perseorangan perempuan Teh Xin Ying (KL) meraih kejuaraan berganda sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya ketika 100Plus Jet Pusingan Pertama Kumpulan A pada Mei lalu.

Xin Ying mempertahankan kejuaraan perseorangan perempuan selepas menundukkan rakan sepasukan yang juga pilihan kedua, Teoh Sue Mei 21-8, 21-10.

Gandingan Teh Xin Ying bersama sama Wong Au Mei sekali lagi cemerlang apabila menghadiahkan kejuaraan kedua selepas menang ke atas pilihan kedua dari Selangor, Chan Zhi Xuan Annabelle-Lim Yew Ern dengan keputusan 21-9, 21-15.

Perseorangan lelaki bawah 14 tahun menjadi milik pemain Selangor Tiew Yi Cheng yang menundukkan Wan Muhd Darwisy Wan Hadelee 17-21, 21-14, 21-19 selepas bertarung selama 54 minit.

Yi Cheng sekali lagi cemerlang apabila meraih kejuaraan kedua selepas gandingannya bersama sama Tiew Wei Jie menang ke atas Darwisy dan Muhd Sahreezwan Shahidi (Melaka) 21-13, 21-12 dalam aksi beregu.

Perseorangan lelaki bawah 12 tahun di ungguli Khairul Azlan Khashah (Kelantan) yang menundukkan Murali Desan Vishnu Adittya 21-12, 21-19 manakala perseorangan perempuan milik Siti Nor Amina Abdullah (Selangor) yang mengatasi rakan sepasukan, Ho Wen Jie 21-12, 21-16.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 6:21 PM