YUQI raih kejuaraan Terbuka India buat kali kedua. FOTO AFP
YUQI raih kejuaraan Terbuka India buat kali kedua. FOTO AFP
AFP

New Delhi: Shi Yuqi mengatasi cabaran sengit daripada Lee Cheuk Yiu dari Hong Kong untuk merangkul kejuaraan badminton Terbuka India keduanya.

Pemain China berusia 27 tahun itu, menduduki ranking kedua dunia, bertarung selama 54 minit untuk memenangi perlawanan akhir 23-21, 21-17 dan menambah gelaran yang dimenangi pada 2018 di New Delhi.

Selepas berhempas-pulas perlawanan set pertama, Yuqi diuji sekali lagi pada perlawanan set kedua apabila Cheuk Yiu meraih 10 mata berturut-turut selepas ketinggalan 6-14 tetapi pemain China itu mengekalkan keberanian untuk muncul sebagai pemenang.

"Dalam perlawanan set kedua, walaupun terdapat beberapa kesilapan yang membuatkan Cheuk Yiu bangkit saya bersabar dan akhirnya berjaya mencatat kemenangan," kata Yuqi.

"Kemenangan ini amat bermakna dalam karier saya, memandangkan sifat berprestij kejohanan ini.

"Walaupun Viktor (Axelsen) kini adalah pemain nombor satu dunia, ia sangat kompetitif sehingga sesiapa sahaja boleh merebut takhta."

Dalam perseorangan wanita, Tai Tzu Ying dari Taiwan menewaskan juara Olimpik, Chen Yu Fei dari China 21-16, 21-12 dalam masa 42 minit.

Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun dinobatkan sebagai juara beregu wanita selepas menewaskan Zhang Shu Xian-Zheng Yu dari China 21-12, 21-13.

Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand merangkul kejuaraan beregu campuran dengan kemenangan 21-16, 21-16 ke atas Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China.

Sungguh menyayat hati buat peminat India selepas wira mereka Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty tewas dalam perlawanan akhir beregu lelaki mendebarkan yang dimenangi oleh juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min-hyuk-Seo Seung-jae 15-21, 21-11, 21-18.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 11:28 PM