Justin Hoh tepati ramalan melakar kemenangan dalam Kejohanan Ranking Dalaman Remaja ke 2 di Bukit Kiara.
Justin Hoh tepati ramalan melakar kemenangan dalam Kejohanan Ranking Dalaman Remaja ke 2 di Bukit Kiara.
Aida Adilah Mat


Kuala lumpur: Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Misbun Sidek tidak gusar tentang prestasi pemain pemain remaja negara kerana beliau memiliki perancangan yang rapi untuk memastikan keadaan mereka di tahap yang optimum.

Sesi latihan yang dijalankan tidak memfokuskan misi untuk melakar kemenangan di antara satu sama lain, tetapi meningkatkan kemahiran asas serta mewujudkan suasana ceria dalam kem latihan.

"Walaupun mereka tidak menyertai mana-mana pertandingan sama ada dua bulan atau tiga bulan, pada saya tidak ada masalah. Modul yang harus kita berikan kepada mereka adalah membuatkan pemain-pemain gembira.

"Apa yang saya lakukan kepada mereka jika tidak menyertai pertandingan adalah menerapkan modul yang boleh menghidupkan persaingan. Kita tidak berlatih sesama sendiri kerana hanya untuk menewaskan sesama sendiri tetapi bagaimana untuk membuat sasaran di mana pemain pemain ini memiliki kelebihan ke atas pemain-pemain luar negara.

Tambahnya lagi, dalam kejohanan Ranking Dalaman Remaja BAM yang memulakan aksi hari ini, beliau tidak melihat pemain kekok atau beraksi di bawah prestasi sebenar dan ia jelas memberi perkhabaran yang positif.

Dalam aksi pembukaan hari ini, Justin Hoh antara pemain pilihan yang menepati ramalan selepas melakar kemenangan dalam aksi pembukaan bagi kumpulan A perseorangan lelaki di kejohanan Ranking Dalaman Remaja ke 2 dekat Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara.

Justin Hoh bagaimanapun kecundang di set pertama sebelum bangkit menundukkan Chia Jeng Hon 11-21, 21-11, 21-13.

"Walaupun tidak banyak latihan tetapi bila turun, saya akan berikan 100% untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi pertandingan ini.

"Sudah tentu saya mahu kedudukan pertama tetapi saya juga berharap pemain pemain lain dapat memberikan tentangan dan saling berubah kedudukan," kata Justin Hoh.

Mengikuti jejak Justin adalah Eogene Ewe Eon yang menundukkan V Poopathi straight set 23-21, 21-18 sementara Ong Zhen Yi menewaskan Muhd Fazriq Mohd Razif, 21-15, 16-21, 21-19.

Kumpulan B pula menyaksikan Anson Cheong menundukkan Lok Hong Quan, 21-19, 21-16 sementara Rex Hooi Shao Herng menang ke atas Jan Jireh Lee, 21-13, 10-21, 21-16 manakala Muhd Adam Shaz menundukkan Dylan Ooi 14-21, 22-20, 21-13.

Sementara itu, aksi membabitkan perseorangan wanita Kumpulan A menyaksikan Siti Nurshuhaini Azman memulakan aksi pembukaan dengan langkah kanan selepas menang 21-12, 21-19 ke atas Joanne Ng May Ying.

"Kejohanan ini penting untuk semua pemain dan saya juga akan beri fokus kepada pertandingan ini kerana ia akan menjadi medan untuk saya menilai kemampuan diri berbanding dengan pemain pemain lain," kata Siti Nurshuhaini.

Mengekori rapat dibelakangnya, Tan Zhing Yi yang turut mencatat kemenangan selepas menundukkan Loh Zhi Wei dalam aksi tiga set 19-21, 21-14, 21-16.

Turut sama meraih kemenangan, Ong Xin Yee yang menundukkan Chan Wen Tse 23-21, 21-16.

Kumpulan B pula memperlihatkan Carmen Ting, Siti Zulaikha Muhd Azmi dan Lim Yi Wei mencatat kemenangan menewaskan lawan masing-masing.

Kejohanan Ranking Dalaman Remaja Kebangsaan ke 2 BAM akan membabitkan dua sesi perlawanan iaitu di sebelah pagi dan petang bermula dari 23 hingga 27 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 6:55 PM