LIEW Daren berterima kasih dipanggil untuk kem latihan pusat. FOTO ARKIB NSTP
LIEW Daren berterima kasih dipanggil untuk kem latihan pusat. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pengalaman beraksi selaku pemain perseorangan kedua di Piala Thomas akan digunakan sebaik mungkin buat Liew Daren selepas namanya terpilih untuk menyertai kem latihan pusat skuad Piala Thomas dan Uber.

Menurut Daren, sebelum ini dia pernah memikul tanggungjawab selaku perseorangan kedua ketika kali pertama mewakili negara di Piala Thomas 2012 di Wuhan.

"Jika dipilih dalam senarai akhir, saya akan diturunkan selaku perseorangan kedua, tidak pun selaku perseorangan pertama.

"Saya pernah memikul tanggungjawab ini ketika penampilan pertama di Piala Thomas," kata perseorangan profesional itu.

Berdasarkan ranking semasa Lee Zii Jia yang juga seorang lagi pemain profesional, bakal menggalas tanggungjawab sebagai perseorangan pertama selepas menduduki ranking nombor tujuh dunia.

Kedudukan perseorangan lelaki kedua terbaik negara ialah Daren yang menduduki tangga ke-35, manakala Ng Tze Yong di kedudukan ketiga terbaik apabila menghuni tangga ke-44.

"Apapun, pertama sekali saya mahu berterima kasih kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana menjemput saya semula untuk menyertai skuad Piala Thomas.

"Walaupun masih belum sah 100 peratus siapa yang akan ke sana, saya akan berlatih seperti biasa dalam tempoh seminggu ini.

"Sebenarnya sebelum ini saya tidak jangka akan disenaraikan dan selepas mendapat maklumat nama dipanggil, saya terus mempersiapkan diri. Sekarang saya mahu fokus Piala Thomas dan tidak mahu fikir banyak mengenai perkara lain," katanya.

Selain Zii Jia, Daren dan Tze Yong, pemain perseorangan lain turut disenaraikan menyertai kem itu adalah Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Ong Ken Yon dan Shaqeem Eiman Shahyar.

"Memang saya boleh berkongsi ilmu dengan pemain muda kerana sudah dua kali beraksi di Piala Thomas, saya akan cuba yang terbaik untuk membimbing mereka dan memberikan nasihat," kata pemain berusia 35 tahun itu.

Semalam, BAM mengumumkan senarai 25 pemain bagi menyertai latihan pusat persediaan ke Piala Thomas dan Uber di Bangkok, Thailand, dari 8 hingga 15 Mei depan.

22 April adalah tarikh akhir untuk menghantar senarai 24 pemain kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 5:50 PM