ZII Jia mengakui sudah mula membiasakan diri selaku perseorangan pertama negara. FOTO Bernama
ZII Jia mengakui sudah mula membiasakan diri selaku perseorangan pertama negara. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


SKUAD Piala Thomas kali ini memang dilihat sedikit janggal apabila buat pertama kali sejak 2004 Malaysia tidak akan membariskan legenda Datuk Lee Chong Wei yang sudah bersara tahun lalu.

Tumpuan bakal terarah kepada pemain berusia 22 tahun yang juga perseorangan pertama negara, Lee Zii Jia bagi menggalas tanggungjawab selaku pemburu mata pertama negara dalam mana-mana perlawanan di kejohanan itu.

Skripnya hampir sama iaitu Chong Wei beraksi di Piala Thomas buat kali pertama pada usia 22 tahun, cuma bezanya Zii Jia terus menjadi perseorangan pertama negara pada usia sama.

Tekanan sudah pasti akan dirasai pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu bagi memikul harapan lebih 31 juta rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, Zii Jia mengakui sendiri bahawa dia sudah mula membiasakan diri selaku perseorangan pertama negara sejak Sukan Sea Filipina 2019 dan Kejohanan Berpasukan Asia 2020 (kelayakan Piala Thomas).

"Memang selama ini saya sudah bermula menjadi pemain perseorangan pertama negara, tidak kira di Sukan SEA atau beberapa kejohanan lain," kata Zii Jia yang sekarang ini menduduki ranking ke-10 dunia.

Tanpa berdalih, Zii Jia mengakui tekanan memang ada dalam dirinya untuk menggalas tugas selaku pemain perseorangan pertama negara di Piala Thomas.

"Apa yang boleh saya cakap ialah saya semakin perlahan-lahan menyesuaikan diri dengan keadaan ini. Saya mahu teruskan dengan semangat ini walaupun dalam masa sama ada tekanan," katanya yang membawa Malaysia muncul naib juara Kejohanan Berpasukan Asia tahun ini.

Dalam pada itu, Zii Jia mengakui timbul kebimbangan dalam dirinya untuk beraksi pada saingan Piala Thomas 2020 di Aarhus, Denmark, bulan depan ketika penularan pandemik Covid-19 masih belum reda di seluruh dunia.

Bagaimanapun, dia percaya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memastikan tahap keselamatan dan kesihatan pemain sebagai keutamaan mereka sepanjang kejohanan berpasukan itu berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 2:46 PM