Beregu lelaki negara, V Shem dan Wee Kiong ketika beraksi dalam salah satu kejohanan. FOTO File NSTP
Beregu lelaki negara, V Shem dan Wee Kiong ketika beraksi dalam salah satu kejohanan. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


PASUKAN Piala Thomas jelas terpaksa pergi tanpa kelibat beregu lelaki berpengalaman profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang sah tidak akan bersama skuad negara bagi mengharungi saingan Piala Thomas 2020 di Aarhus, Denmark, bulan depan.

Daripada senarai dikeluarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu tetap dengan pendirian tidak akan menyertai rakannya yang lain untuk ke Denmark atas sebab tertentu.

Difahamkan, kedua-duanya agak sukar membuat keputusan untuk menyertai kejohanan terbabit atas faktor keselamatan berikutan pandemik Covid-19.

V Shem baru saja bergelar bapa pada 30 Ogos lalu manakala Wee Kiong bakal menyambut kelahiran anak keduanya yang dijangka pada 17 Oktober ini.

Selain itu, cabaran besar menanti pemain badminton nombor satu negara, Lee Zii Jia yang mengetuai pasukan menghadapi kejohanan itu.

Zii Jia akan mengalas cabaran bersama perseorangan negara yang lain Liew Daren, Cheam June Wei dan Leong Jun Hao.

Sementara kategori beregu mempertaruhkan gandingan emas Sukan Sea 2019 Aaron Chia-Soh Wooi Yik selain turut menyenaraikan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin serta Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Bagi skuad Piala Uber pula BAM memberi kepercayaan kepada pemain berpengalaman seperti, Soniia Cheah, S Kisona, Goh Jin Wei dan Eoon Qi Xuan.

Manakala beregu membabitkan pasangan Mei Kuan-Lee Meng Yean, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen dan Pearly Tan-M Thinaah turut berada dalam senarai 20 pemain terbaik skuad negara ke kejohanan itu.

Di Aarhus, skuad lelaki negara diundi dalam Kumpulan A bersama musuh tradisi, Indonesia, England dan Belanda manakala pemain wanita berada dalam Kumpulan B yang dibarisi Korea Selatan, Indonesia dan Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 7:45 PM