MISBUN (tengah) berkata sasaran itu disandarkan kepada barisan pemain lelaki tidak kira dalam acara apa sekalipun. FOTO Ihsan Facebook Misbun Sidek
MISBUN (tengah) berkata sasaran itu disandarkan kepada barisan pemain lelaki tidak kira dalam acara apa sekalipun. FOTO Ihsan Facebook Misbun Sidek
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad badminton lelaki negara diberi kepercayaan untuk merealisasikan sasaran satu pingat emas pada temasya Sukan Sea Hanoi Mei ini.

Sasaran itu dilihat sebagai satu yang realistik apabila skuad negara hanya menghantar barisan pelapis dan bukannya skuad senior seperti tiga tahun lalu di Filipina kerana pertindihan dengan kejohanan Piala Thomas/Uber di Bangkok Thailand yang juga berlangsung Mei ini.

Pengurus pasukan, Datuk Misbun Sidek, berkata sasaran itu disandarkan kepada barisan pemain lelaki tidak kira dalam acara apa sekalipun selepas melihat peluang untuk skuad wanita agak sukar.

"Inilah masanya untuk pasukan muda ke depan supaya mereka lebih berani.

"Ia adalah peluang buat pemain seperti Justin Hoh, Siti Nurshuhaini Azman dan Ong Xin Yee menimba pengalaman dan ia penting supaya pada masa depan kita mempunyai pemain pelapis yang boleh galas cabaran negara.

"Jika dulu kita dapat tiga emas, kali ini saya harap pemain lelaki dapat membawa pulang satu emas. Itu adalah sasaran yang ditetapkan kepada mereka," katanya yang juga Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.

Pada edisi 2019 di Manila, Malaysia mencipta pencapaian mengagumkan selepas meraih tiga emas dua perak dan lima gangsa dalam tempoh 44 tahun.

Emas disumbangkan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia; perseorangan wanita, S Kisona dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Pada temasya kali ini, Malaysia menyenaraikan 10 pemain membabitkan acara perseorangan, beregu dan beregu campuran iaitu Lim Chong King, Lee Shun Yang, Kok Jing Hong dan Justin, Man Wei Chong, Tee Kai Wun, Haikal Nazri, Wan Arif Junaidi, Hoo Pang Ron dan Chen Tang Jie.

Skuad wanita pula dibarisi Siti Nurshuhaini, Loh Zhi Wei, Xing Yee, Siti Zulaikha Azmi, Yap Ling, Go Pei Kee, Cheng Su Yin, Cheng Su Hui, Cheah Yee See dan Peck Yen Wei.

Selain acara individu, Malaysia juga akan menyertai saingan berpasukan lelaki dan wanita pada Sukan SEA Vietnam yang akan berlangsung bermula 12 hingga 23 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 6:46 PM