Kuala Lumpur: Legenda Indonesia Rexy Mainaky (gambar kanan) tidak menolak kemungkinan untuk kembali menabur khidmat bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada masa depan.

Malah, Rexy yang kini menggalas tugas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) berkata, BAM pernah menawarkan jawatan ketua jurulatih beregu kepadanya sebelum tawaran itu diberikan kepada Cheah Soon Kit.

“Memang saya ada mendapat tawaran itu. Morten Frost Hansen (Pengarah Teknikal BAM) sendiri menghubungi saya.

“Tapi, saya beritahu kepadanya, apa yang boleh dilakukan dalam tempoh lapan bulan iaitu bermula daripada beliau tawarkan jawatan itu sehingga ke Sukan Olimpik nanti.

“Bagi saya perlu ada perancangan yang jelas dan berpanjangan. Contohnya di Indonesia ketika ini, sudah ada pemain yang dipersiapkan untuk ke Sukan SEA, Sukan Asia serta Sukan Olimpik 2020,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Ditanya adakah beliau berminat untuk kembali sekiranya BAM membuka semula tawaran kepadanya selepas kontraknya bersama PBSI berakhir selepas Sukan Olimpik Rio tahun depan, Rexy sekadar berkata: “Kita tunggu dan lihat saja nanti. Saya tidak dapat memberi komen lebih lanjut.”

Mengulas mengenai pencapaian skuad negara terutama menerusi acara beregu, Rexy mengaku terkejut kerana hanya Goh V Shem serta Tan Wee Kiong yang menyerlah.

“Waktu zaman saya dulu, masih banyak lagi pemain pelapis. Seolah-olah kini sudah tiada minat lagi untuk pemain bermain acara beregu,” katanya.

Nama Rexy sememangnya cukup sinonim bagi badan induk itu apabila pernah menabur khidmat selama tujuh tahun sehingga 2012.

Di bawah bimbingannya, beregu utama negara ketika itu, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mencipta sejarah apabila memenangi pingat emas Sukan Asia Doha 2006 serta pernah menduduki ranking pertama dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 9:48 AM