Flandy Limpele (tengah) ketika membimbing Aaron Chia dan Soh Wooi Yik
Flandy Limpele (tengah) ketika membimbing Aaron Chia dan Soh Wooi Yik
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ketika barisan beregu lelaki negara menunjukkan peningkatan, Flandy Limpele membuat keputusan mengejutkan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila tidak mahu menyambung kontrak baru.

BAM dalam dalam satu kenyataan mengesahkan ketua jurulatih beregu lelaki itu akan meninggalkan badan induk berkenaan berkuat kuasa 1 April ini iaitu selepas dua tahun menabur bakti di Malaysia.

BAM sudah berusaha untuk menawarkan kontrak baru namun pengendali berusia 48 tahun itu membuat keputusan tidak mahu menyambung perkhidmatannya tatkala beliau mahu memulakan perjalanan karier yang baru.

"BAM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Flandy atas dedikasi dan komitmen serta mendoakan kejayaan untuk masa depannya," kata BAM.

Flandy yang meraih gangsa di Sukan Olimpik Athens 2004 bersama Eng Hian mengakui sudah mengadakan perbincangan dengan Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky mengenai keputusannya itu.

"Selepas pertimbangan dan perbincangan yang teliti dengan Rexy, saya rasa ini masa yang sesuai untuk saya berundur.

"Saya bersyukur kerana mendapat keistimewaan untuk berkhidmat dengan BAM selama dua tahun," kata Flandy yang turut membantu pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih gangsa di Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu. 

Sementara itu, Rexy mengucapkan terima kasih kepada rakan senegaranya itu di atas kerjasama dan profesionalisma sepanjang dua tahun bersama BAM.

"Beliau sudah meletakkan asas di bahagian beregu lelaki untuk kita menyambung membinanya dan menyumbang kepada detik-detik yang tidak dapat dilupakan.

"Saya bangga dengan kerja yang kita lakukan bersama. Saya doakan yang terbaik untuk beliau bagi memulakan perjalanan baru.

"Masih banyak yang perlu dilakukan untuk meneruskan pengukuhan ke atas skuad beregu lelaki muda kita dan saya berjanji bahawa saya akan terus bekerja keras untuk memimpin bahagian ini ke tahap yang lebih tinggi," kata Rexy.

Keputusan Flandy itu hadir ketika Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani muncul naib juara Terbuka Switzerland semalam. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 6:46 PM