Aksi Pearly Tan-Valeree Siow ketika menyumbang mata buat pasukan badminton wanita negara. FOTO BAM
Aksi Pearly Tan-Valeree Siow ketika menyumbang mata buat pasukan badminton wanita negara. FOTO BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan (beregu) BAM, Rexy Mainaky mengakui skuad badminton wanita negara wajar diberi pujian apabila beraksi cemerlang sehingga muncul juara kumpulan.

Malah mereka berpeluang untuk melangkah ke pentas akhir buat kali pertama di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Pusat Konvensyen Setia City kali ini.

Rexy berkata, biarpun lawan menurunkan pasukan kedua mereka namun pemain menunjukkan kesungguhan untuk menang.

"Setiap yang sedia maklum bahawa Jepun dan India tidak menghantar pasukan terbaik mereka tapi skuad wanita negara perlu diberi pujian kerana tunjukkan kesungguhan untuk menang.

"Buktinya pemain baru kita berjaya bangkit dari tekanan ketika bertemu Jepun. Kita ketinggalan 0-2 tapi bangkit untuk menang perlawanan.

"Jadi saya harap mereka dapat mengekalkan momentun itu dan terus berjuang untuk mengintai peluang ke final," katanya.

Rexy Mainaky
Rexy Mainaky

Malaysia mengesahkan tiket ke separuh akhir selaku juara Kumpulan Y selepas menang kedua-dua aksi peringkat kumpulan mengatasi Jepun dan India masing-masing dengan keputusan 3-2.

Pencapaian ke separuh akhir kali ini menyaksikan skuad negara mengulangi pencapaian dua tahun lalu di Filipina sekali gus turut melayakkan diri secara merit ke pusingan akhir Piala Uber 2022 di Bangkok, Thailand, Mei depan.

Selaku juara kumpulan, Malaysia diletakkan sebagai pilihan bersama Indonesia yang muncul juara Kumpulan Z.

Skuad negara dijadualkan bertemu naib juara sama ada Korea Selatan atau Jepun pada majlis undian yang akan diadakan semula.

Aksi separuh akhir lelaki dan wanita akan berlangsung esok dengan dua perlawanan berlangsung di sebelah pagi dan dua lagi di sebelah petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 3:00 PM