REXY berkata setiap pemain perlu ada kemahuan yang tinggi. FOTO NSTP
REXY berkata setiap pemain perlu ada kemahuan yang tinggi. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengakui barisan pemain beregu negara berdepan lawan yang sukar di Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark dari 21 hingga 27 Ogos ini.

Namun itu bukan isunya dan bercakap berdasarkan pengalamannya, Rexy berkata beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mampu untuk melakarkan kejutan.

Ini kerana pasangan negara itu mempunyai karektor untuk melepasi laluan sukar ini seperti yang pernah dibuktikan mereka sebelum ini.

"Apa yang penting ketika ini adalah sejauh mana kemahuan pemain itu sendiri untuk menang.

"Ini kerana jika mahu ingin menjadi juara, setiap pemain perlu ada kemahuan yang tinggi.

"Untuk jadi juara, kita tak boleh cakap saja. Lawan itu lawan ini. Pemain perlu ada kemahuan yang lebih. Jika cakap saja tapi hatinya tak ada itu susah.

"Jadi saya harapkan pemain-pemain kita seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly-Thinaah ada rasa itu, rasa ingin yang lebih," katanya.

Tegas Rexy, kedua-dua pasangan negara itu sekarang ini perlu untuk kekal fokus untuk mengejar kejuaraan sepanjang kejohanan sama seperti yang pernah di tunjukkan ketika Aaron-Wooi Yik menang tahun lalu dan Pearly-Thinaah muncul juara di Terbuka Perancis.

Berdasarkan undian, Pearly-Thinaah berdepan cabaran sebenar di pusingan ketiga yang mana mereka akan menentang pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara juara ketika di Nanjing pada 2018 dan Basel 2019.

Jika berjaya melepasi halangan itu menanti mereka di suku akhir adalah pasangan China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu untuk menentukan tempat ke separuh akhir.

Manakala bagi Aaron-Wooi Yik, mereka tidak perlu bermandi peluh pada pusingan pertama selepas mendapat bye. Cabaran sebenar menanti mereka sekiranya layak ke pusingan ketiga apabila mereka berkemungkinan akan berdepan juara Olimpik Tokyo dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin.

Menurut Rexy, Aaron-Wooi Yik tidak lagi boleh hanya bersandarkan gelaran dimenangi mereka bagi menghadapi Kejohanan Dunia tahun ini memandangkan saingan kali ini adalah permulaan baharu dan juga perlu berwaspada kebangkitan Lee Yang-Chi Lin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 3:22 PM