CHOONG Hann berkata pemilihan pemain muda berdasarkan kepada ranking dalaman di mana mereka antara tertinggi berbanding lain. FOTO OWEE AH CHUN.
CHOONG Hann berkata pemilihan pemain muda berdasarkan kepada ranking dalaman di mana mereka antara tertinggi berbanding lain. FOTO OWEE AH CHUN.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemilihan pemain untuk menyertai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Pusat Kovensyen Setia City Shah Alam itu bermula 15 hingga 20 Februari ini dibuat berdasarkan pencapaian keseluruhan pada penyertaan mereka di peringkat antarabangsa.

Pengarah Kejurulatihan (perseorangan) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berkata, dua pemain perseorangan membabitkan Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong sudah pastinya akan tersenarai berikutan pencapaian mereka cukup memuaskan.

Beliau berkata, empat pemain muda lain terdiri daripada Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Kok Jing Hong pula berdasarkan kepada ranking dalaman di mana mereka antara tertinggi berbanding lain.

"Macam Zii Jia dan Tze Yong mereka adalah yang paling menonjol sejak setahun yang lalu (di kejohanan antarabangsa. Bagi pemain lain pula, mereka dipilih berdasarkan ranking dalaman yang kami lakukan pada hujung tahun lalu.

"Untuk Jing Hong pula kami ingin memberikan dia peluang menimba pengalaman selepas menunjukkan peningkatan prestasi sejak kebelakangan ini. Kami mahu memberi galakan kepada pemain yang mempamerkan prestasi yang bagus dan mereka akan diberi peluang," katanya.

Terdahulu, BAM memaklumkan bahawa pemain profesional negara Zii Jia diberikan tanggungjawab sebagai perseorangan pertama.

Turut diberikan kepercayaan menggalas cabaran sebagai pemain perseorangan negara pada kejohanan terbabit adalah juara Terbuka Scotland 2021 Tze Yong, Aidil Sholeh, Jun Hao, Chong King dan Jing Hong.

Sementara itu, pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan diberikan kepercayaan mengetuai cabaran untuk kategori beregu selain BAM turut membariskan gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Bagi kategori wanita pula pemain perseorangan dibarisi oleh Eoon Qi Xuan, S Kisona, Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman dan Myisha Mohd Khairul.

Pasangan Pearly Tan-M Thinaah turut disenaraikan menggalas cabaran negara selain tiga beregu lain Teoh Mei Xing-Anna Cheong, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee.

Mengikut rekod, pada Edisi 2020, skuad lelaki mara ke final sebelum tewas 1-3 di tangan Indonesia manakala pasukan pula wanita berakhir dengan terkandas di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 9:09 PM