TZE Yong menunjukkan proses pemulihan positif dan mula mengikut program latihan di gelanggang. FOTO SAIFUL AFFENDY SAPRAN
TZE Yong menunjukkan proses pemulihan positif dan mula mengikut program latihan di gelanggang. FOTO SAIFUL AFFENDY SAPRAN
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Faktor kecederaan terus menghantui pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong apabila perlu menjalani pembedahan kali kedua sekali gus terpaksa digugurkan daripada skuad negara bagi menghadapi saingan Piala Thomas yang akan berlangsung di Chengdu, China dari 27 April hingga 5 Mei ini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi satu kenyataan hari ini berkata, selepas menjalani pembedahan tulang belakang pada Februari lalu, Tze Yong menunjukkan proses pemulihan positif dan mula mengikut program latihan di gelanggang.

Malangnya, Tze Yong mengalami keadaan yang sangat jarang berlaku susulan pembedahan itu yang dikesan awal minggu ini.

Selepas berunding dengan doktor Institut Sukan Negara (ISN) dan doktor yang melakukan pembedahan, Tze Yong kini akan menjalani satu lagi pembedahan untuk memperbaiki simptomnya dan mempercepatkan pemulihannya.

"Kesihatan Tze Yong adalah keutamaan kami. Malangnya, dia mengalami ini tetapi kami mesti melakukan yang terbaik untuk Tze Yong dan memastikan dia pulih sepenuhnya.

"BAM tidak akan berkompromi dengan kesihatannya. Tze Yong tidak akan menyertai Piala Thomas kerana kami mahu dia memberi tumpuan kepada pemulihannya," kata Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.

Terdahulu Rexy mengesahkan Tze Yong terpaksa digugurkan daripada skuad Piala Thomas dan tempat pemain yang menduduki ranking ke-18 dunia itu digantikan oleh pemain beregu lelaki negara, Choong Hon Jian.

Selepas ketiadaan Tze Yong, skuad negara kini hanya mempunyai empat perseorangan iaitu Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh manakala beregu akan diperkuatkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri-Hon Jian.

Pada saingan di Chengdu, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 6:27 PM