PENG Soon dan Valeree menang dalam masa 20 minit. FOTO BAM
PENG Soon dan Valeree menang dalam masa 20 minit. FOTO BAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Gandingan baharu beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Valeree Siow nampaknya mula menunjukkan belang di Terbuka India.

Peng Soon yang selama ini sinonim berpasangan bersama Goh Liu Ying nyata tidak berdepan masalah membentuk keserasian dengan gandingan terbarunya, Valeree apabila mudah menundukkan wakil tuan rumah, Raju Mohamed Rehan-Jamaludeen Anees Kowsar 21-4 21-9 di pusingan pertama.

Menariknya gandingan negara itu hanya memerlukan masa 20 minit untuk menewaskan pasangan India itu pada perlawanan pertama mereka di pentas antarabangsa sejak mula digandingkan bersama.

Peng Soon, 33, bagaimanapun enggan mendabik dada, sebaliknya berasakan mereka bernasib baik kerana bertemu lawan tidak begitu mencabar.

"Kombinasi antara saya dengan Valeree setakat ini nampak ok sebab kami belum betul-betul jumpa lawan yang kuat. Jadi belum boleh nampak (kombinasi benar-benar serasi).

"Lawan kami temui hari ini memang tidak terlalu sukar, tapi ia masih lagi satu aksi pemanas badan yang baik untuk saya dan Valeree," katanya.

Mereka berdua dilihat tidak goyah dan Peng Soon jelas menggunakan pengalamannya untuk menewaskan lawan mereka selain memberi tunjuk ajar kepada Valeree yang baru berusia 19 tahun.

Pasangan negara yang diletakkan selaku pilihan kelima kejohanan itu bakal bertemu satu lagi gandingan tuan rumah, Kashish Sharma-Saruni Sharma pada pusingan kedua.

Kashish-Saruni mara ke pusingan kedua selepas menewaskan rakan senegara, Kirtesh Dhindhwal-Daksha Gautam 21-17, 21-14.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 4:16 PM