TZE Yong akan berdepan Nhat dari Ireland di suku akhir esok. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
TZE Yong akan berdepan Nhat dari Ireland di suku akhir esok. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong meneruskan rentak kemenangan apabila mara ke suku akhir kejohanan BWF Super 500 Terbuka India.

Pemain kelahiran Johor itu meraih kemenangan bergaya menewaskan pemain Perancis, Lucas Claerbout 20-22, 21-15, 21-18 dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam 17 minit.

Selepas menewaskan pemain lebih ternama Tommy Sugiarto dari Indonesia pada pusingan pertama, Tze Yong memberi tentangan sengit kepada Claerbout pada set pertama sebelum tewas dalam penentuan dius 20-22.

Dia seterusnya bangkit untuk menjinakkan lawan berusia 30 tahun itu di set kedua dan penentuan.

Menanti Tze Yong di suku akhir sama ada lawan dari Ireland, Nguyen Nhat.

Turut mengiringi Tze Yong ke suku akhir adalah beregu campuran negara Chan Peng Soon-Valeree Siow yang menewaskan wakil India, Kashish Sharma-Saruni Sharma 21-6, 21-8.

Manakala hasrat pemain negara Soong Joo Ven untuk menyekat kebangkitan juara dunia dari Singapura Loh Kean Yew tidak kesampaian apabila tewas 12-21, 12-21.

Terdahulu beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan tidak berdepan masalah menewaskan Siddharth Jakhar-Megha Morchana Bora 21-6, 21-11 dalam tempoh 23 minit.

Sementara itu penarikan dari tujuh pemain daripada Terbuka India di New Delhi selepas diuji positif Covid-19 susulan ujian mandatori RT-PCR memberi manfaat kepada dua beregu negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Cheng Tang Jie-Peck Yen Wei.

Yew Sin-Ee Yi yang diletakkan sebagai pilihan ketiga mara ke suku akhir tanpa perlu mengeluarkan peluh selepas Utkarsh Arora-Akshan Shetty dari India menarik diri.

Manakala Tang Jie-Yen Wei mendapat kemenangan percuma apabila pemain tuan rumah K Sai Pratheek-Gayatri Gopichand menarik diri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 5:26 PM