AKSI Tze Yong ketika bertemu Jonatan Christie. FOTO AFP
AKSI Tze Yong ketika bertemu Jonatan Christie. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mengakui banyak yang perlu di perbaiki lagi olehnya selepas tewas di tangan Jonatan Christie pada aksi separuh akhir Terbuka Hong Kong, semalam.

Pemain ranking ke-20 dunia itu memberi tentangan sengit di set pertama sebelum tewas 19-21 kepada Jonatan yang menghuni kedudukan keenam dunia tetapi mencetuskan kebangkitan sensasi apabila dia yang beberapa kali ketinggalan berjaya memenangi set kedua 23-21 namun tewas 13-21 di set ketiga.

Biarpun sudah memberikan yang terbaik, namun Tze Yong akui dia masih belum cukup pantas untuk mengatasi lawan.

Namun dia tekad untuk terus bangkit memperbaiki segala kelemahan dan menjadi lebih baik di kejohanan seterusnya selepas ini.

"Saya sudah beri yang terbaik dalam 'game' saya tapi banyak yang perlu diperbaiki lagi.

"Pada set penentuan, kepantasan saya tidak cukup dan saya kurang konsisten di set penentuan," katanya.

Di sebalik kekalahan itu, pencapaian melangkah ke separuh akhir kali ini adalah yang terbaik buat Tze Yong musim ini.

Kali terakhir dia mara kelompok empat terbaik dalam kejohanan Super 500 adalah pada saingan Terbuka India, tahun lalu.

Tze Yong selepas ini akan mengibarkan cabaran negara di Sukan Asia, Hangzhou yang mana dia akan beraksi dalam acara berpasukan dan perseorangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 3:31 PM