LEE Zii Jia. FOTO Badminton Photo
LEE Zii Jia. FOTO Badminton Photo
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak memandang rendah keupayaan lawannya dari Brazil, Ygor Coelho apabila kedua-dua pemain berkenaan membuat perhitungan pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol, esok.

Zii Jia berkata, walaupun rekod pertemuan memihak kepadanya, dia perlu lebih bersedia supaya tidak lagi 'terjerat' dengan pemain kurang ternama sehingga terpaksa pulang awal.

Katanya, dia tidak berada pada tahap terbaik ketika aksi bertemu Anthony Ho-Shue pada pusingan pertama sekali gus perlu segera memperbaiki setiap kelemahan sebelum membuat perhitungan dengan Coelho.

"Saya fikir ia adalah permulaan sukar untuk saya pada Kejohanan Dunia kali ini kerana saya tidak berada pada tahap terbaik. Jadi, saya perlu bermula semula.

"Saya perlu segera pulih dan berada pada tahap terbaik apabila berdepan pemain Brazil (Coelho). Saya perlu buat persiapan dari aspek mental," katanya.

Terdahulu, Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 diletakkan sebagai pilihan keenam mengesahkan tempat ke kelompok 32 terbaik selepas menewaskan pemain Kanada, Jason Anthony Ho-Shue 21-10, 17-21, 21-11 dalam aksi pusingan pertama, semalam.

Coelho pula mara selepas menyingkirkan pemain Belgium, Maxime Moreels 21-18, 21-9.

Kali terakhir Zii Jia yang juga pemain ranking nombor tujuh dunia bertemu Coelho adalah ketika pusingan pertama Kejohanan Dunia 2019 di Basel, Switzerland, dengan keputusan memihak kepada pemain negara.

Seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Liew Daren yang meraih pingat gangsa pada edisi 2018 di Nanjing, China turut akan beraksi di pusingan kedua dengan dia dijadual menentang HS Prannoy dari India.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 4:59 PM