ZII Jia ketika ditemubual media selepas sesi latihan menjelang Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil, semalam. FOTO Bernama
ZII Jia ketika ditemubual media selepas sesi latihan menjelang Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil, semalam. FOTO Bernama
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: "Saya fikir ia akan menjadi perlawanan yang sangat menarik untuk peminat Malaysia apabila dua pemain terbaik negara beraksi menentang antara satu sama lain."

Itu antara komen pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia yang nyata teruja sekiranya dapat membuat perhitungan dengan rakan senegara, Ng Tze Yong di pusingan kedua Terbuka Malaysia 2023 yang akan membuka tirainya esok.

Pemain berusia 25 tahun itu berkata, dia percaya peminat juga pastinya berkongsi perasaan yang sama untuk menyaksikan pertemuan antara dua pemain perseorangan lelaki terbaik negara ketika ini.

"Sudah tentu semua orang mahu menyaksikan perlawanan ini. Dia seorang pemain yang bijak dan saya percaya dia tahu apa perlu dilakukannya untuk meningkatkan lagi tahap prestasinya," kata Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan.

Dalam pada itu, Tze Yong, berkata sekiranya ditakdirkan bertemu Zii Jia, dia percaya mereka akan menyajikan persembahan terbaik untuk peminat badminton tempatan.

"Jika kami menentang antara satu sama lain, sudah tentu kami akan memberikan tentangan sengit antara satu sama lain dan berikan aksi terbaik kami," katanya yang kini menghuni ranking ke-25 dunia.

Bagi merealisasikan pertembungan 'adik-abang' itu, kedua-dua pemain perlulah terlebih dahulu melepasi halangan pusingan pertama pada kempen Terbuka Malaysia kali ini.

Zii Jia dijadual menentang bintang meningkat naik dari Jepun, Kodai Naraoka manakala Tze Yong diundi bertemu Nhat Nguyen dari Ireland.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 7:37 PM