ZII Jia masih menjadi sandaran skuad negara. FOTO Badminton Photo
ZII Jia masih menjadi sandaran skuad negara. FOTO Badminton Photo
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Prestasi yang tidak menentu dan gagal meraih sebarang kejayaan pada beberapa kejohanan terdahulu bukanlah petanda zaman kejatuhan buat pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia.

Namun, kekalahan dan prestasi tidak menentu itu adalah sebahagian daripada proses pembelajaran kepada pemain berkenaan untuk tampil lebih bersedia pada kejohanan akan datang.

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, Zii Jia masih lagi mempunyai potensi untuk menjadi seorang pemain terhebat dunia kelak.

Beliau berkata, walaupun beberapa perlawanan sebelum ini dia kurang menyerlah dan gagal di pusingan pertama, namun tidak bermakna pemain terbabit harus diketepikan oleh barisan kejurulatihan.

"Zii Jia mempunyai harapan dan juga seorang pemain yang komited dalam mempertingkatkan prestasi supaya dapat meraih kejayaan di setiap kejohanan di sertainya.

"Mungkin nasib tidak menyebelahinya dan mengharapkan dia dapat mencipta kejayaan pada Kejohanan Dunia 2021 di Huelva, Sepanyol," katanya.

Mengikut rekod, Juara Seluruh England 2021 itu diletakkan sebagai pilihan keenam di Sepanyol dan dijadual bertemu Jason Anthony Ho-Shue dari Kanada pada pusingan pertama.

Di atas kertas, kelebihan tampak memihak kepada Zii Jia yang berada di ranking kelapan dunia berbanding lawannya itu di ranking ke-45.

Namun, ia bukan petanda untuk Zii Jia berada dalam kedudukan selesa dengan kali terakhir kedua-dua pemain itu bertemu adalah pada 2016 ketika Kejohanan Dunia Remaja di Bilbao, Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 6:52 PM