NORZA Zakaria. FOTO Aizuddin Saad
NORZA Zakaria. FOTO Aizuddin Saad
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tetap dengan pendirian untuk menghantar 'ubi muda' menyertai Sukan Sea Vietnam 2021 tahun depan.

Walaupun percaturan itu kemungkinan berdepan kesukaran untuk memperoleh pingat namun ia sebagai platform kepada pemain pelapis untuk menyerlah bakat mereka selain persediaan menyertai kejohanan lebih besar pada masa akan datang.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata tidak timbul isu pertindihan tarikh antara temasya berkenaan dengan saingan Piala Thomas/Uber 2022 yang akan diadakan di Bangkok, Thailand pada 8 hingga 15 Mei tahun depan.

"Untuk Sukan Sea kita akan membariskan muka baharu. Perkara ini pun sudah diumumkan dulu sebelum Sukan Sea ditangguhkan lagi.

"Selain pemain daripada skuad pelapis, kita juga akan melihat pemain remaja yang berpotensi untuk disenaraikan bagi membawa cabaran negara di temasya berkenaan.

"Jadi, saya fikir ia tidak akan memberikan kesan kepada pelan kita. Untuk saingan Piala Thomas/Uber ia akan dibarisi pemain elit negara," katanya.

Skuad pelapis negara bakal hadir di Vietnam dengan reputasi tinggi memandangkan badminton adalah lubuk untuk kontinjen Malaysia memenangi pingat.

Mengikut rekod, barisan pemain badminton negara berjaya meraih tiga pingat emas pada edisi 2019 di Filipina.

Emas hadir menerusi kejayaan pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia; perseorangan wanita, S Kisona dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Skuad badminton negara juga memenangi perak dalam acara beregu campuran menerusi Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan berpasukan lelaki.

Malaysia turut membawa pulang lima gangsa menerusi acara Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki); Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen (beregu wanita), Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (beregu campuran) dan berpasukan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 9:41 PM