KENNY Goh, Setiausaha Agung  BAM.
KENNY Goh, Setiausaha Agung BAM.
Ferzalfie Fauzi


SKUAD badminton negara tetap dengan pendirian menyertai Piala Thomas/Uber 2020 di Aarhus, Denmark pada 3 hingga 11 Oktober depan walaupun tiga negara sudah membuat keputusan menarik diri akibat penularan Covid-19 yang masih belum reda.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh, mereka tidak bercadang menarik diri daripada kejohanan berpasukan berkenaan tetapi menegaskan tahap keselamatan dan kesihatan pemain serta pegawai akan menjadi keutamaan.

''Esok, kami akan bertemu BWF (Persekutuan Badminton Dunia) bagi mendapatkan maklumat lanjut daripada badan induk itu," kata Kenny.

Ujarnya, BAM juga akan mengadakan perbincangan dengan MSN (Majlis Sukan Negara), KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan KKM (Kementerian Kesihatan).

"Kami akan cuba dapatkan nasihat daripada mereka. Setakat ini, pendirian Malaysia adalah kita tetap akan menyertai Piala Thomas/Uber. Kita tidak ada merancang untuk menarik diri,'' kata Kenny.

Dalam pada itu, BWF dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini mengesahkan skuad lelaki dan wanita Thailand menjadi pasukan terbaru yang menarik diri daripada saingan Piala Thomas/Uber kerana bimbang dengan pandemik Covid-19 selain beberapa pemain utama mengalami kecederaan.

Thailand mengikut jejak langkah dua negara yang mengambil keputusan menarik diri lebih awal iaitu Australia dan Taiwan. BWF dalam kenyataan sama menegaskan kejohanan di Aarhus tetap akan diteruskan mengikut jadual dan akan mengumumkan pengganti kepada tiga pasukan yang sudah menarik diri.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 8:22 PM