BARISAN pemain badminton negara mendengar amanat yang di sampaikan oleh Norza. FOTO Bernama
BARISAN pemain badminton negara mendengar amanat yang di sampaikan oleh Norza. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


SKUAD Piala Thomas dan Uber negara dijangka tidak akan berdepan masalah untuk menyertai saingan kejohanan itu di Aarhus, Denmark 3 hingga 11 Oktober ini biarpun Taiwan mengesahkan penarikan diri daripada kejohanan itu akibat Covid-19.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria berkata, perkara itu sudah diusulkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan beliau memberi sokongan penuh kepada skuad negara.

Bagaimanapun, pemergian skuad negara perlu mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Norza berkata, saingan Piala Thomas/Uber adalah sesuatu yang menang dinantikan oleh peminat sukan yang mahukan menyaksikan Malaysia menyertainya dan skuad negara mempunyai harapan sangat baik untuk melangkah ke peringkat paling tinggi tahun ini.

Begitupun perkara itu mencetuskan kebimbangan dengan penarikan diri Taiwan dan India pula terpaksa menghentikan sesi latihan berpusat mereka selepas pemain beregu wanita, Reddy N Sikki disahkan positif Covid-19.

"Urusan berhubung SOP atau pengurusan lain biar BAM yang uruskan. Pemain hanya fokus kepada latihan dan mengikut apa yang akan perlu dilakukan.

"Saya tahu, Piala Thomas/Uber selepas dan sebelum Covid berbeza. Jadi saya mahu komitmen 200 peratus daripada semua pemain.

"Tiada perbezaan antara pemain bebas atau pemain BAM apa yang penting adalah satu skuad yang terbaik bagi perseorangan dan beregu.

"Tadi saya ada berbincang dengan (Tan) Wee Kiong dan (Goh) V Shem dan semalam dengan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan turut membawa masuk Liew Daren dan Soong Joo Ven untuk berlatih bersama di ABM (Akademi Badminton Malaysia) untuk wujudkan persaingan sihat antara pemain bebas dan BAM," katanya.

Norza yang ditemui turut memaklumkan bahawa seramai 27 pemain badminton negara termasuk pemain bebas akan menyertai kem motivasi di Pulau Tioman selama empat hari tiga malam sebagai persediaan menghadapi saingan Piala Thomas/Uber.

Ia adalah sebahagian daripada langkah BAM untuk mewujudkan satu pasukan yang mantap kerana kata Norza, tiada pemain yang lebih besar daripada pasukan dan sebab itu beliau mahu berat sama dipikul ringan sama dijinjing.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, penarikan diri Taiwan tidak memberi kesan kepada negara kerana pencabar utama Denmark, Jepun dan Indonesia masih ada.

Malaysia diundi bersama musuh tradisi dan juara 13 kali, Indonesia, England dan Belanda.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 7:19 PM