Aksi atlet para badminton negara, Cheah Liek Hou ketika menyertai kejohanan baru-baru ini.
Aksi atlet para badminton negara, Cheah Liek Hou ketika menyertai kejohanan baru-baru ini.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sentiasa terbuka menerima sekiranya atlet para badminton negara, Cheah Liek Hou menyatakan hasrat menjalani latihan bersama atlet normal yang lain.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh bagaimanapun berkata, ia memerlukan perancangan yang teliti bagi memastikan proses itu memberi situasi menang-menang bagi kedua-dua belah pihak.

Beliau ketika ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa kerja para badminton di Majlis Sukan Negara (MSN) berkata, ketika ini juara dunia itu berlatih di bawah bimbingan jurulatih, Rashid Sidek di Sports Affair dan menunjukkan perkembangan positif.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh. FOTO File NSTP
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh. FOTO File NSTP

Justeru Kenny berpendapat ada lebih baik ketika ini BAM tidak mencampuri urusan atlet itu dari segi latihan.

"BAM tiada masalah untuk menerima Liek Hou di Akademi Badminton Malaysia (ABM) tapi buat masa ini dari segi latihan dan laporan yang diterima dia menunjukkan peningkatan.

"Jadi kenapa kita nak ganggu jika program yang dirancangkan itu menampakkan peningkatan.

"Pada ketika ini lebih baik fokus kepada apa yang sudah dirancangkan dan memperbaiki beberapa elemen seperti daripada segi kecergasan, berat badan dan meningkatkan kelayakan kerana Liek Hou adalah sasaran untuk pingat emas di Tokyo," katanya yang turut menerima laporan tahunan sains sukan daripada Institut Sukan Negara (ISN) berhubung perkembangan atlet para badminton negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 5:53 PM