Aaron dan Wooi Yik memenangi pingat gangsa. Gambar Ihsan Facebook Reezal Merican Naina Merican.
Aaron dan Wooi Yik memenangi pingat gangsa. Gambar Ihsan Facebook Reezal Merican Naina Merican.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memuji kesungguhan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang bangkit daripada ketinggalan untuk memenangi pingat gangsa sekali gus pingat pertama negara pada Olimpik Tokyo 2020.

Aaron-Wooi Yik mempamer aksi terpuji apabila menewaskan pasangan handalan dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14.

"Alhamdulillah. Rezeki hari kesembilan temasya ini akhirnya menghadirkan pingat pertama buat negara.

"Walaupun tidak berjaya mempertahankan pingat perak yang dimenangi oleh pasangan Goh V Shem-Tan Wee Keong di Rio 2016, namun kesungguhan Aaron-Wooi Yik cukup membanggakan.

"Saya dapat lihat tadi kesungguhan Aaron dan Wooi Yik dengan aksi yang cukup bertenaga. Saya tahu bukan mudah untuk berhadapan dengan lawan yang berpengalaman lebih-lebih lagi ini adalah penampilan pertama pasangan beregu negara ini ke Olimpik," katanya menerusi status terbaharu di Facebook.

Reezal turut mengucapkan tahniah kepada jurulatih mereka, Flandy Limpele yang berjaya membimbing pasangan beregu negara itu sehingga ke tahap sekarang.

"Ini juga hasil kerja keras semua pihak yang bersama-sama menjadikan impian Olimpik ini satu kenyataan.

"Teruskan usaha. Jadikan kejayaan ini sebagai pembakar untuk mencipta lebih banyak kegemilangan. Kita juga doakan kejayaan buat barisan atlet negara yang masih meneruskan perjuangan di Olimpik ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 9:14 PM