Alvaro Morata (kiri) meledak dua gol ketika menewaskan Dynamo Kiev. FOTO AFP
Alvaro Morata (kiri) meledak dua gol ketika menewaskan Dynamo Kiev. FOTO AFP
AFP

Kiev: Alvaro Morata menjaringkan dua kali ketika Juventus yang beraksi tanpa Cristiano Ronaldo pada kempen Liga Juara-Juara menang 2-0 di Dynamo Kiev.

Penyerang Sepanyol itu membuka jaringan selepas rehat babak pertama apabila menyepak bola yang melantun dan gol kedua berbaki enam minit permainan untuk meletakkan Juventus di tempat kedua Kumpulan G di belakang Barcelona yang menewaskan pasukan kerdil Hungary, Ferencvaros 5-1.

Kapten Portugal, Ronaldo dan pemain tengah Amerika Syarikat, Weston McKennie masing-masing terlepas kunjungan ke Ukraine selepas positif Covid-19 manakala Alex Sandro dan Matthijs de Ligt turut tersisih kerana mengalami kecederaan.

Tapi Andrea Pirlo, 41, memulakan saingan sulungnya sebagai jurulatih di peringkat Eropah dengan rentak kemenangan berdepan jurulatih veteran Dynamo, Mircea Lucescu yang memberikan kemunculan pertama buat jurulatih Itali itu pada Serie A selaku pemain Brescia sekitar 25 tahun lalu.

"Satu demi satu. Adalah penting untuk bermain dengan bagus berbanding Sabtu lalu bertemu Crotone," kata Pirlo mengenai keputusan seri 1-1 dalam liga itu.

"Kami berupaya mencuba sesuatu (dalam latihan) pada Isnin dan kami lebih tersusun hari ini."

"Pendekatan yang saya berikan sejak dari awal adalah untuk mempunyai lebih ramai pemain yang membantu serangan.

"Chiesa mempunyai tugas menyerang dan boleh beraksi sama ada di bahagian sayap, Kulusevski dan Ramsey boleh berada di dalam dan dengan Cuadrado di kanan pemain di penjuru dapat pergi ke hadapan.

"Jangan lupa bahawa kami beraksi tanpa Ronaldo dan Dybala tidak 100%, jadi percaturan di bahagian serangan mungkin berubah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 8:39 AM