KLOPP ketika perlawanan membabitkan Villa dan Liverpool di Birmingham awal bulan ini. FOTO AFP
KLOPP ketika perlawanan membabitkan Villa dan Liverpool di Birmingham awal bulan ini. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mendedahkan beliau menghantar pesanan mesej yang sangat panjang kepada barisan pemainnya selepas kekalahan memalukan 2-7 di tangan Aston Villa.

Klopp berdepan kekalahan paling buruk sepanjang kariernya sebagai pengurus di Villa Park awal bulan ini.

Prestasi mengejutkan daripada juara Liga Perdana Inggeris itu menamatkan rekod tanpa kalah di awal saingan musim ini selain mendedahkan kelemahan di bahagian pertahanan.

Majoriti barisan pemain Klopp mempunyai tugasan antarabangsa sebaik kekalahan itu dan pengendali dari Jerman itu mengambil keputusan menjelaskan segala-galanya kepada barisan pemainnya menerusi pesanan mesej yang panjang.

"Malam selepas perlawanan itu bukanlah malam yang terbaik dalam hidup saya. Saya bangun pada sebelah pagi dan mahu bercakap dengan barisan pemain tetapi kesemua mereka tidak ada ketika itu.

"Saya kemudian menghantar pesanan mesej yang sangat panjang. Ia mengenai pandangan saya apa yang sudah berlaku dan kemudian saya berasa lega kerana sudah meluahkan segala-galanya," kata Klopp kepada BBC.

Klopp berharap mesej panjang yang disampaikannya itu dapat memberi kesan apabila Liverpool kembali beraksi minggu ini buat kali pertama selepas kekalahan memalukan kepada Villa.

The Reds akan berkunjung ke Stanley Park untuk bertemu pasukan tangga teratas liga, Everton esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 8:41 AM