MINAMINO (kanan) meraikan jaringannya bersama Diogo Jota. FOTO EPA
MINAMINO (kanan) meraikan jaringannya bersama Diogo Jota. FOTO EPA
AFP

Southampton: Jurgen Klopp menilai peluang Liverpool untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana sebagai 'tidak mungkin tetapi boleh berlaku' selepas kelab yang sedang memburu empat kejuaraan itu menewaskan Southampton 2-1, hari ini.

Selepas menewaskan Chelsea menerusi penentuan penalti pada aksi final Piala FA tiga hari lalu, Klopp mengambil risiko melakukan rombakan di dalam skuadnya pada perlawanan di St Mary's.

Sebaik Nathan Redmond meletakkan Southampton di depan menerusi jaringan awal, Liverpool bangkit hasil gol Takumi Minamino dan Joel Matip.

The Reds hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga, Manchester City, dengan kedua-dua pasukan masih berbaki satu perlawanan lagi.

City akan mengesahkan kejuaraan liga jika menang ke atas Aston Villa di Stadium Etihad, Ahad ini.

Klopp bagaimanapun menegaskan beliau tidak menjangkakan City akan kehilangan mata menentang Villa.

Tetapi Liverpool akan dinobatkan sebagai juara buat kali kedua dalam tiga musim jika mereka menewaskan Wolves di Anfield dan City gagal menang.

"Sudah tentu ia tidak mungkin kerana City bermain di tempat sendiri menentang Aston Villa. Ia tidak mungkin tetapi boleh berlaku.

"Ia adalah perlawanan terakhir kami di laman sendiri musim ini, suasana akan menjadi luar biasa dan kami akan cuba memanfaatkan sebaik-baiknya.

"Sudah tentu ia boleh berlaku. Bola sepak adalah permainan yang sukar. Satu-satunya peluang yang kami ada pada perlawanan ini adalah untuk menang. Kami berjaya melakukannya dan tidak pernah berputus asa," kata Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 6:29 AM