Presiden MGF, Rachel Lau. FOTO File NSTP
Presiden MGF, Rachel Lau. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bekas Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Afrita Ariany Nasril yang dipecat 6 Oktober lalu berharap Presiden, Rachel Lau memahami dan tidak mempermainkan perlembagaan persatuan.

Menurutnya, yang dipecat tanpa sebarang notis melalui emel pada jam 10.02 malam, badan sukan kebangsaan wujudnya dengan adanya gabungan persatuan negeri-negeri.

"Badan kebangsaan boleh dibubarkan jika ahli gabungan memutuskan untuk keluar atau berpecah," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

"Presiden dipilih melalui undian ahli gabungan dan melalui undi juga ahli gabungan mampu mengetepikannya berdasarkan isu yang tengah berlaku sekarang.

Beliau juga (Rachel) jangan lupa menjadi presiden kerana menang tanpa bertanding sebelum ini.

"Ya memang presiden adalah orang nombor satu dalam badan induk tapi beliau tidak ada sepenuh kuasa untuk membuat keputusan, kerana semua melalui kelulusan dan sokongan Lembaga Tadbir," kata Afrita Ariany, 38.

Beliau yang 12 tahun menjadi atlet dan enam tahun atlet gimnastik negara berkata, satu-satunya kuasa yang dimiliki presiden adalah melantik setiausaha kehormat dan memberhentikan setiausaha kehormat dengan segera mengikut klausa perlembagaan.

"Bagaimanapun, presiden masih harus mendapatkan sokongan dan kelulusan oleh Lembaga Tadbir. Inilah norma sejak MGF dibentuk.

Melihat keadaan sekarang, Setiausaha Kehormat yang baru tidak mempunyai kuasa untuk menguruskan dan memberi arahan kepada staf MGF.

"Apa saja kenyataan tidak mempunyai klausa dan kepercayaan. Bagaimanapun, ini tidak menjadi isu kerana ia sudah menjadi amalan dalam MGF," katanya yang berkhidmat selama 19 tahun sebagai jurulatih gimnastik.

Ujar Afrita Ariany, semua itu berlaku dan bermula kerana penyataan kewangan 2019 dan 2020 yang tertangguh selama setahun enam bulan.

"Semua ini menyaksikan akaun MGF tidak telus dan ahli gabungan agak samar dalam perkara berkenaan. Akaun penajaan dibuka di bawah nama MGF melalui sebuah institusi perbankan dan apa yang ahli gabungan tahu bahawa kita ada sumber kewangan.

"Pada hakikatnya, pegawai, atlet bahkan ibu bapa (atlet) yang terpaksa mendahulukan dana untuk kegunaan pertandingan di luar negara dan membeli kelengkapan bagi kegunaan latihan," katanya.

Tambahnya, ia adalah jalan terbaik untuk memenuhi permintaan ahli gabungan supaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) lebih awal untuk menangani masalah dalaman ini secara damai.

"Saya fikir sudah waktunya untuk exco yang lain bersuara dan menasihati ahli lembaga exco memikirkan atlet dan sukan ini secara keseluruhan," katanya.

Arena Metro semalam melaporkan Naib Presiden Persatuan Gimnastik Kumpulan Estetik Malaysia (MAGGA), Datuk Radha Krishnan kecewa kerana hingga sekarang ia belum nampak ada titik noktah terhadap kemelut MGF dan menggesa agar Rachel perlu menyelesaikan semua permasalahan berbangkit sebelum meletakkan jawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 9:46 PM