PEMAIN Liverpool tidak mahu lagi berdepan kekecewaan dalam pertembungan dengan Arsenal pagi Selasa ini. FOTO AFP
PEMAIN Liverpool tidak mahu lagi berdepan kekecewaan dalam pertembungan dengan Arsenal pagi Selasa ini. FOTO AFP
AFP

London: Mikel Arteta sudah mengubah suasana di Arsenal, jelas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dengan The Gunners kembali bersemangat selepas muncul juara Piala FA, Perisai Komuniti dan mencatat dua kemenangan dalam dua aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagaimanapun, ujian paling sukar yang bakal ditempuh Arsenal musim ini adalah aksi awal pagi esok berkunjung di ke Anfield, di mana pasukan bimbingan Klopp tidak pernah tumpas dalam 60 perlawanan liga.

Arteta menyifatkan laman sendiri Liverpool adalah tempat paling sukar di dunia untuk ditempuhi namun mereka boleh berbekalkan keyakinan bersandarkan dua kemenangan ke atas juara EPL itu dalam tiga bulan lalu.

Pierre-Emerick Aubameyang adalah kunci utama dalam kebangkitan Arsenal, menjaringkan dua gol bagi aksi separuh akhir dan akhir Piala FA mengalahkan Manchester City dan Chelsea.

Dia turut meledak satu gol ketika membantu Arsenal muncul juara Perisai Komuniti yang berakhir dengan penentuan penalti bertemu Liverpool.

Arteta mengikut cara Klopp dengan mengancam kubu lawan dari kawasan tepi dan Aubameyang di lihat menggunakan ruang selepas ketiadaan Trent Alexander Arnold sebelum meluru ke depan.

"Dengan kepantasan yang mereka ada untuk serangan balas, ia bakal membuatkan anda berdepan masalah," kata Klopp.

Kecederaan yang dialami Alexander Arnold menyaksikan dia terlepas perlawanan Perisai Komuniti dan Aubameyang menggunakan kesempatan itu dengan mudah selepas posisi berkenaan diisi pemain kurang berpengalaman, Neco Williams.

Kembalinya pemain antarabangsa England itu, mungkin akan memberikan sedikit perbezaan buat pasukan Liverpool.

Liverpool juga memberi bayangan akan cuba mempertahankan kejuaraan liga dengan membawa masuk pemain berbakat bertaraf dunia, Thiago Alcantara.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu sudah memberi gambaran awal apa yang dimilikinya apabila melakukan lebih banyak hantaran berbanding pemain Chelsea walaupun hanya masuk pada separuh masa kedua hujung minggu lalu ketika mereka menang 2-0 di Stamford Bridge.

Kecederaan yang dialami Jordan Henderson bermakna Alcantara berkemungkinan bakal dibariskan dalam kesebelasan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 12:07 PM