Barcelona: Juara bertahan Kei Nishikori (gambar) melangkah ke pusingan ketiga Terbuka Barcelona dengan kemenangan 6-3, 6-4 ke atas pemain Russia, Teymuraz Gabashvili, kelmarin.

Pilihan utama dari Jepun itu tampil kali pertama pada musim gelanggang tanah liat namun tidak berdepan masalah menentang pemain nombor 85 dunia itu apabila dia merampas servis lawannya pada awal setiap set dan berdepan hanya satu mata ‘break’ sebelum memastikan kemenangan.

Nishikori akan berdepan sama ada pemain Portugal, Joao Sousa atau pilihan ke-15, Santiago Giraldo pada pusingan ketiga hari ini.

Pilihan kedua Rafael Nadal akan memulakan usahanya memburu kejuaraan Barcelona kesembilan dengan bertemu Nicolas Almagro, pemain yang menundukkannya pada suku akhir tahun lalu.

Almagro hanya bermain tiga permainan untuk menempah tiket ke pusingan ketiga apabila Paolo Lorenzi tidak meneruskan perlawanan ketika ketinggalan 0-3 pada set pertama.

Kekalahan Nadal kepada Almagro tahun lalu menamatkan rentetan 41 kemenangan juara 14 gelaran Grand Slam itu pada kejohanan itu sejak 2003.

“Dia seorang pemain hebat dan sering tampil sebagai lawan yang berbahaya,” kata Nadal.

“Saya perlu mempamerkan permainan sendiri dan menyukarkan Nico.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 7:55 AM