Kei Nishikori. FOTO AFP
Kei Nishikori. FOTO AFP
AFP

NAIB juara Terbuka AS (Amerika Syarikat) dari Jepun, Kei Nishikori berkata, dia dijangkiti Covid-19 dan menarik diri daripada kejohanan ATP di New York dengan Terbuka AS tahun ini bakal berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi.

Pemain nombor 31 dunia, Nishikori berkata dia menjalani ujian dan memperoleh keputusan positif pada Ahad di Florida dan akan menempuhi tempoh pengasingan diri kerana mempunyai beberapa simptom.

Dia dan pasukannya merancang ujian lebih kerap dijalankan dan akan mengemaskini statusnya pada Jumaat ini.

"Saya mempunyai berita yang kurang baik," kata Nishikori dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial.

"Pagi ini, ketika masih di Florida, saya melakukan ujian Covid-19 dan didapati positif."

Nishikori merancang untuk terbang ke New York pada Isnin menjelang Terbuka Western and Southern minggu ini, acara yang kebiasaannya bermain di Cincinnati tetapi dipindahkan ke New York dengan kawalan kuarantin ketat sebelum berlangsung Terbuka AS yang dijadualkan bermula 31 Ogos ini dalam suasana hampir sama.

"Saya terpaksa menarik diri daripada kejohanan di Cincinnati buat masa ini," kata Nishikori.

"Saya dalam keadaan baik dan mempunyai sedikit simptom tetapi semestinya akan melengkapkan tempoh pengasingan demi kesihatan semua orang."

Nishikori menikmati persembahan hebat Grand Slam di Flushing Meadows, termasuk ketika tewas kepada Marin Cilic pada final 2014 dan mara separuh akhir pada 2016 dan 2018.

Kejayaan terakhir Nishikori adalah di Brisbane pada 2019 dan memenangi enam daripada 12 karier kejuaraan ATP di AS.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 10:02 AM