DOMINIC THIEM
DOMINIC THIEM
Reuters

VIENNA: Impian pemain pilihan, Dominic Thiem untuk menang di halaman sendiri pada Terbuka Vienna berkubur apabila dia tewas kepada Kei Nishikori pada suku akhir, awal pagi tadi.

Thiem yang berharap menjadi pemain ketiga Austria melakar sejarah menjuarai kejohanan itu selepas 45 tahun, terpaksa akur dengan kekalahan 3-6, 1-6 kepada pilihan kelima, Nishikori yang berjaya mempamerkan antara aksi terbaiknya tahun ini.

Pilihan kelapan itu gagal bangkit selepas tewas lima permainan pertama dalam tempoh 20 minit.

“Dia sememangnya bermain dengan baik hari ini,” kata Thiem.

“Sesetengah pukulan penting dalam permainan saya tidak menjadi seperti kebiasaannya.”

Nishikori akan menentang pemain dari pusingan kelayakan, Mikhail Kukushkin pada separuh akhir selepas dia menewaskan Marton Fucsovics dalam perlawanan selama tiga jam 19 minit.

“Saya masih tidak percaya saya berjaya melakukannya,” kata Kukushkin selepas menang 4-6, 7-6 (7/2), 7-6 (7/4).

“Ia satu perlawanan yang gila, penuh emosi.”

Pilihan kedua Kevin Anderson turut menempah tempat ke separuh akhir selepas lawannya Borna Coric menarik diri pada set kedua kerana mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 8:25 AM