AARON (kiri) mengakui sebagai pemain, perkara yang paling utama adalah mereka buat persiapan terbaik. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
AARON (kiri) mengakui sebagai pemain, perkara yang paling utama adalah mereka buat persiapan terbaik. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Batal atau diteruskan bukan masalah kepada pemain badminton negara apabila mereka tetap memberikan komitmen tinggi bagi menghadapi kejohanan Piala Thomas/Uber 2020 yang bakal berlangsung di Aarhus, Denmark, bulan depan.

Ketika ini, kejohanan terbabit bagaikan hilang seri seandainya diteruskan apabila lima negara sah menarik diri sekali gus membayangkan kemungkinan ditunda atau dibatalkan nanti.

Juara Piala Thomas 13 kali, Indonesia dan Korea Selatan memberi tamparan hebat buat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) apabila mengesahkan menarik diri daripada menyertai kejohanan berpasukan itu.

Keputusan kedua-dua negara gergasi badminton itu menyaksikan mereka mengikut jejak langkah Taiwan, Australia dan Thailand yang sebelum ini turut menarik diri.

Pemain beregu lelaki nombor satu negara Aaron Chia berkata, ketika ini dia tidak mahu memikirkan perkara terbabit dan mahu memberi tumpuan 100 peratus terhadap kejohanan terbabit.

"Biarlah BAM yang buat keputusan mengenai hal ini, kita tunggu saja sehingga saat akhir nanti. Sebagai pemain, perkara yang paling utama adalah kami buat persiapan terbaik.

"Kami bersedia dengan sebarang kemungkinan. Pergi atau tidak, itu perkara kedua kerana yang paling penting adalah persiapan. Saya percaya BAM akan buat keputusan yang terbaik untuk pasukan," katanya.

Aaron yang bergandingan bersama Soh Wooi Yik berkata, penarikan lima pasukan terbabit boleh dikatakan memberi kelebihan kepada pasukan negara yang akan memanfaatkan 'laluan mudah' itu terutama ketika diundi bersama Indonesia.

"Memang akan beri kelebihan kepada kami, tetapi sukar untuk bercakap lebih lanjut mengenai perkara ini kerana semuanya masih belum muktamad," katanya.

Skuad wanita negara pula akan mendapat lawan yang baharu dalam Kumpulan B selepas sebelum ini mereka diundi bersama Indonesia, Korea dan Australia.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, pihaknya tetap menjalani latihan seperti biasa dan hanya menunggu maklum balas daripada BWF untuk tindakan lanjut.

"Pada perbincangan itu, kita sudah bangkitkan persoalan dan kebimbangan yang disuarakan pemain. Jadi, kita tunggu apakah penyelesaian yang akan diberikan BWF.

"Selepas itu, kami akan buat penilaian dan lihat apakah risiko yang sebenarnya berdasarkan maklum balas diberikan BWF. Hanya selepas itu kita akan putuskan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 9:49 PM