Pengurus Kanan Pembangunan BA, Thana Arikrishnan (dua, kanan) dan Pengarah Kanan Institut Kejuruteraan Berpusat Manusia Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Mohd Sharizal Sunar (dua, kiri) bertukar-tukar dokumen selepas menandatangani MoU mewakili BA dan UTM sebagai rakan digital aplikasi ‘Fit Asia’ hari ini. Hadir sama Ketua Pegawai Operasi BA Saw Chit Boon (kanan). FOTO Bernama
Pengurus Kanan Pembangunan BA, Thana Arikrishnan (dua, kanan) dan Pengarah Kanan Institut Kejuruteraan Berpusat Manusia Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Mohd Sharizal Sunar (dua, kiri) bertukar-tukar dokumen selepas menandatangani MoU mewakili BA dan UTM sebagai rakan digital aplikasi ‘Fit Asia’ hari ini. Hadir sama Ketua Pegawai Operasi BA Saw Chit Boon (kanan). FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Penundaan saingan Piala Thomas/Uber 2020 yang sepatutnya berlangsung di Aarhus, Denmark Oktober ini tidak harus dijadikan isu oleh Eropah dengan menyifatkan negara Asia sebagai pentingkan diri apabila memutuskan untuk tidak menyertai kejohanan itu sehingga menjadi punca penangguhan kejohanan dwi tahunan itu.

Ketua Pegawai Operasi Badminton Asia (BA), Saw Chit Boon berkata, keputusan sama ada untuk menarik diri atau tidak itu adalah hak setiap negara yang bertanding dan sudah pastinya ia diputuskan selepas menilai segala aspek dengan terperinci.

Chit Boon berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan media luar yang menyifatkan negara Asia sebagai mementingkan diri susulan negara Taiwan, Thailand, Korea Selatan dan Indonesia menarik diri.

"Setiap negara mempunyai syarat dan SOP (prosedur operasi standard) yang berbeza. Ada yang perlu dikuarantin ada yang tidak.

"Sekarang ini dunia sedang berperang untuk melawan pandemik Covid-19. Hingga sekarang perkara itu masih belum reda. Jadi jangan menjadikan kehidupan menjadi sukar. Setiap negara mempunyai hak mereka untuk membuat keputusan sendiri kerana aspek keselamatan perlu diberi keutamaan," katanya.

Justeru Chit Boon menyifatkan keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk menunda Piala Thomas/Uber itu adalah keputusan yang tepat untuk keselamatan pemain dan pegawai yang terbabit dalam kejohanan itu.

Malah apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah bersama-sama tangani pandemik ini dan bukannya menuding jari atau mencari salah.

Sementara itu, Chit Boon yang ditemui ketika majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara BA dan Pusat Inovasi Sukan dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, kejohanan di peringkat Asia hanya akan berlangsung selepas keadaan kembali reda.

"Badminton ini sukan yang berlainan daripada sukan lain kerana ia adalah permainan yang dimainkan dalam dewan dan berhawa dingin. Banyak benda tidak sama.

"Tak sama seperti tenis atau bola sepak yang bermain di luar. Jadi banyak perkara yang perlu diberi perhatian dan BWF sendiri sedang berusaha keras untuk memastikan semua keadaan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 8:58 PM